malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Idham dihargai Jabatan Bomba dan Penyelamat
Diterbitkan:  Apr 26, 2018 8:40 PM
Dikemaskini: 12:46 PM
ADS

Buat pertama kali dalam sejarah, seorang anak seni seperti Ahmad Idham Nadzri dianugerahkan pangkat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah dan penerbit itu menerima pangkat Penguasa Kanan Bomba 1 (Kehormat) yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim di Putrajaya semalam.

“Penganugerahan ini tidak pernah berlaku di dalam industri hiburan dan mereka nampak sumbangan anak seni kepada JBPM,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir menyaksikan penganugerahan bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Namun, anugerah yang dianggap suatu pencapaian itu tidak mampu melegakan perasaan Ahmad Idham berhubung filem Qhaliq - edaran syarikat miliknya AIFA Motion Sdn Bhd - yang sepatutnya dijadual menemui penonton pada 5 April lalu.

Tayangan itu ditunda bagi memberi “laluan” kepada Dukun yang ‘diperam’ selama 12 tahun, iaitu apabila kedua-dua filem mempunyai tarikh mula tayang yang sama.

“Pun begitu saya tetap malu dengan mereka sebab filem Qhaliq yang bertujuan mengangkat kerjaya bomba tidak mendapat perhatian serius daripada jawatan kuasa SWT (Sistem Wajib Tayang),” katanya.

Menurutnya, tarikh baru tayangan Qhaliq akan diumumkan selepas berbincang dengan Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dalam masa terdekat.

Sementara itu Ahmad Idham berkata, ramai tidak sedar dengan agenda serta usaha dilakukannya untuk menaikkan imej agensi kerajaan terutama JBPM melalui filem Qhaliq.

“Saya membawa amanat Datuk Seri Mohammad Mentek yang mahu filem Qhaliq dapat ditayangkan kepada penonton tempatan,” katanya.

Selain pengurniaan pangkat oleh JPBM, Ahmad Idham juga pernah menerima pentauliahan pangkat Leftenan Kolonen Bersekutu oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada 16 Mac lalu.

Lihat Komen