malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Amin kecewa pujian buat Maszlee undang perbalahan
ADS

Sebelum ini ada hantaran daripada pengacara dan personaliti terkenal TV, Amin Idris, memuji bekas ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malek dimuat naik di media sosial.

Ia sepatutnya biasa-biasa saja, namun hantaran Amin itu dibuat ketika seluruh negara dilanda demam pilihan raya umum (PRU).

Tidak lama kemudian status Amin itu 'ghaib'.

Untuk mendapatkan penjelasan, Malaysiakini menghubungi Amin dan bertanya mengapa status di Facebook berkenaan dipadamkan.

Kata Amin dia kesal kerana pandangannya mengenai Maszlee disalah erti segelintir pihak.

Menurutnya hantaran itu bersifat pandangan peribadi mengenai ketokohan yang ada pada pensyarah serta penganalisis politik terbabit.

"Ia dibuat tanpa mengira fahaman politik sesiapa.

“Status diiringi klip video itu hanya untuk memuji Dr Maszlee secara individu, tiada kaitan dengan mana-mana parti politik termasuk parti yang diwakilinya,” katanya.

Maszlee bukanlah asing di negara ini apabila suaranya kerap kedengaran apabila mengulas isu-isu semasa.

Ada sampai bergaduh

Lahir di Johor Bahru Maszlee mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti al-Bayt, Jordan, sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya.

Untuk kedua-dua fasa itu Maszlee mengambil bidang fiqh dan usul al-fiqh.

Dia kemudian menyambung pengajiannya di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham pada 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran pada 2011.

Maszlee adalah pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIA sejak 2000 sebelum meletak jawatan untuk menyertap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Namanya dipilih menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk kerusi parlimen Simpang Renggam.

Menurut Amin dia mengenali Maszlee sejak menuntut di UIA pada 1999.

“Saya mesti akui tentang kualitinya. Dia adalah antara individu terbaik pernah saya kenal.

“(Dia seorang) intelek, rendah diri, amanah dalam setiap kerjanya dan juga sempoi.

“Dia bukan hanya bercakap tentang PRU akan datang tetapi untuk generasi akan datang. Saya yakin amat rugi jika rakyat tidak memanfaatkan batang tubuhnya sebagai pemimpin.

"Saya doakan yang terbaik untuk Maszlee, dan rakyat Malaysia pilihlah yang terbaik," katanya.


Baca Maya Karin tak sabar nak memangkah


Amin memberitahu Malaysiakini, warga maya lebih banyak memberi respon yang mengundang perbalahan ekoran pandangan yang dilontarkannya baru-baru ini.

Hal itu membuatkan anak kelahiran Sarawak - tetapi dibesarkan di Kelantan itu - mengambil pendekatan untuk memadam hantaran terbabit.

Alasannya, supaya perkara tidak diharapkan seperti perbalahan terus berlaku.

“Nampaknya ramai yang salah faham sampai bergaduh, cari gaduh, saling tuduh-menuduh dalam ruangan komen.

"Ini membuatkan saya berasa niat sebenar sudah disalah erti,” katanya.

Lihat Komen