malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Deadpool pancing undi 17 Mei
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 6:39 PM
Dikemaskini: 10:46 AM
ADS

Muncul seorang calon tidak disangka-sangka meminta undi orang ramai menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Tetapi calon berkenaan bukan memakai pakaian kemas atau bertali leher seperti kebanyakan pemimpin parti yang biasa nampak di televisyen, dia memakai topeng dan sut khas adiwira Hollywood - dia Deadpool.

Twentieth Century Fox penerbit produksi filem Deadpool baru-baru ini melancarkan sebuah iklan acah menggunakan papan iklan.

Pada imej berkenaan, karakter adiwira yang diilhamkan daripada Komik Marvel menunjukkan aksi mendepa kedua-dua belah tangannya.

Imej turut diiringi kata-kata untuk ‘meraih undi’ - digunakan sebagai strategi pemasaran - bagi mempromosi filem itu yang akan ke layar perak bermula 17 Mei depan di seluruh pawagam tempatan.

Pasukan X-Force Deadpool

“Sokonglah Deadpool 2,” perkataan yang tertera pada iklan acah berkenaan.

Deadpool disiarkan sebagai sebuah filem buat pertama kali pada 2016 dan diarahkan Tim Miller manakala sekuelnya disutradarai oleh David Leitch.

Filem kali ini berkisahkan Deadpool membentuk pasukan X-Force untuk melindungi seorang mutan daripada watak antagonis, Cable.

Deadpool 2 menggunakan pelakon sama yang membintangi naskhah pertama lalu sebagai, watak utamanya, Ryan Reynolds.

Selain itu, ia turut dijayakan Josh Brolin, Morena Baccarin, Julian Dennison, Zazie Beetz, T.J Miller dan Brianna Hildebrand.

Deadpool dapat undi

Iklan berkenaan yang disiarkan pada akaun Facebook majalah JUICE Malaysia mendapat lebih 1,200 tanda suka 1,979 kongsian dan 170 komen ketika ini.

Beberapa pengguna Internet memuji tindakan berkenaan yang dianggap suatu kaedah mengagumkan dilakukan syarikat berkenaan dalam merangka strategi promosinya.

Manakala, reaksi lain menyatakan Deadpool telah “meningkatkan prestasi” selain berjaya “memperoleh undi” mereka.

Dalam sebuah kenyataan dikeluarkan A+M, seorang jurucakap 20th Century Fox berkata, syarikat berkenaan memastikan iklan tersebut serasi dengan karakter dibawakan Deadpool, iaitu penuh dengan kegilaan dan menawarkan penonton jenaka serta telatah lucu tanpa henti.

“Sudah tentu pilihan raya umum semakin hampir, dan kami fikir Deadpool perlukan sokongan anda juga. Ini tidak mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Papan iklan mengandungi wajah Deadpool boleh ditemui di sekitar Johor Bahru, Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Kajang, Ampang, Shah Alam, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

Lihat Komen