malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Shila tak berubah walau sudah jadi milik Haris
ADS

Tiada apa menghalang Shila Amzah untuk terus bergelar anak seni biarpun selepas bergelar isteri kepada Haris Idraki Elias.

Kata Shila, atas izin suaminya itu dia juga tidak akan memperlahankan perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi yang sudah diiktiraf hingga ke China.

“Untuk karier saya, ia akan berjalan seperti biasa, tak ada apa-apa yang akan berubah.

"Sebelum ini saya dan Haris memang banyak berbincang mengenai hala tuju kami selepas bersatu sebagai suami dan isteri," katanya.

Menurut Shila sebagai pasangan suami isteri mereka bersetuju untuk saling menyokong atas apa juga yang dilakukan.

Justeru katanya Haris sudah menyatakan sikapnya untuk terus menyokong kedudukannya sebagai artis

Shila atau nama penuhnya Nur Shahila Amir Amzah, 27, ditemui selepas majlis resepsi perkahwinannya di Hotel Marriot, Putrajaya malam semalam.

Terdahulu, Shila selamat diijab kabul bersama Haris di Cheras pada 19 April lalu berwalikan bapa Shila sendiri. Sebelumnya mereka mengikat tali pertunangan pada 3 November 2017.

Majlis istimewa buat kedua mempelai itu dihadiri lebih 800 tetamu yang terdiri daripada pihak keluarga, peminat dan rakan-rakan kedua belah pihak pengantin selain peminat Shila dari China.

Menjadi tetamu kehormat pula Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tidak kering gusi

Majlis resepsi turut dimeriahkan dengan kejutan persembahan daripada kumpulan terkenal, Ruffedge, yang mendendangkan lagu Bila Rindu.

Tema dan dekorasi majlis resepsi diinspirasikan daripada rekaan ‘Old Shanghai’ era 1960-an dan dihias menarik dengan tradisi artistik Cina.

Shila dalam pada itu berkata, dia seolah-olah tidak percaya kini dirinya sudah dimiliki orang.

“Jujur memang tidak dapat mengagak perkara ini akan berlaku. Memang kami sudah berkenalan lebih kurang tujuh hingga lapan tahun namun kami tidak sempat bercinta lama-lama, terus berkahwin,” katanya.

Diminta mengulas mengenai sifat Haris yang membuatkan hatinya terpaut, Shila berkata, apa dimiliki suaminya itu sukar untuk ditemui pada lelaki lain.

“Haris seorang yang bersifat terbuka, bertanggungjawab dan sering memahami.

"Ini saya tidak jumpa pada orang lain. Orangnya jenis di depan atau belakang sama saja iaitu jujur dan berterus-terang,” katanya.

Sementara itu, Haris pula berkata, antara sifat Shila yang memutikkan cinta pada hatinya ialah karakter wanita itu yang begitu bersaja dan sering membuatnya tidak kering gusi.

“Memang saya tidak dapat nafikan, Shila adalah seorang yang begitu lucu.

"Saya tidak dapat hidup sehari tanpa ketawa kerana jenakanya. Memang cukup terhibur apabila bersama dengannya,” katanya.

Lihat Komen