malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada baiknya sindir menyindir dalam hip hop
ADS

Budaya sindir menyindir dalam lirik lagu hip hop yang hangat pada masa ini sebenarnya telah wujud sejak tahun 90-an, kata penyanyi rap terkenal Joe Flizzow.

"Budaya ini ada baiknya tetapi ia bergantung , sebab ada beberapa lagu sindiran yang saya setuju, mungkin orang yang disindir itu perlu diberi amaran atau sindiran keras.

“ Tetapi ada beberapa lagu yang hanya menggunakan situasi untuk menjadi terkenal. Bila ada isu baru mereka cuba untuk masuk. Tetapi bila ditanya, disoal mereka tidak mengaku," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas budaya sindir menyindir dalam lirik lagu oleh beberapa artis.

Menyentuh sama ada budaya ini perlu dihentikan, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, berkata ia bergantung kepada situasi dan penerimaan masyarakat kerana terdapat penyanyi yang benar-benar menyindir dengan niat untuk menegur manakala ada pihak yang sahaja menggunakan keadaan itu untuk meraih populariti.

Joe berkata masyarakat kini sudah mula mengenali dan memahami setiap lagu dan lirik sesebuah lagu hip hop itu dengan lebih terperinci berbanding dahulu sehinggakan ada mereka yang 'over analysed' .

"Sekarang ini kalau kita tengok cara mereka mengkaji lirik adalah sangat dahsyat berbanding dulu. Kalau dahulu mereka cuma mahu mendengar bahagian chorus nak lompat, menari tetapi sekarang kalau pergi persembahan rap hampir semua lagu peminat kita hafal dan bagi saya sebagai penyanyi dan juga penulis lirik ia adalah sesuatu yang membanggakan.

"Walaupun adakalanya mereka (masyarakat) terlebih analisis (over analysed) banyak benda, kita sebagai artis perlulah pandai untuk mengendalikan situasi atau lagu itu untuk mengelakkan daripada sesuatu yang tidak baik terjadi," katanya

Joe berkata penerimaan lagu hip hop pada masa ini sangat berbeza berbanding dahulu di mana dahulu masyarakat banyak mengkritik dan menganggap lagu hip hop ini berunsur negatif.

"Sejak dari dulu lagi kami cuba terapkan tradisi ketimuran yang positif seperti lagu 'Anak Ayam' dengan Malique kita terapkan unsur gamelan, kompang dalam muzik kami namun ia akan jadi konflik apabila budaya Melayu kita yang menegur secara berlapik disalah anggap,” katanya

“Tetapi bila kita sudah kutuk orang, sopan santun itu sebenarnya telah hilang, jadi tidak perlu nak nafikan atau menyorok. Ia seperti perbahasan, kena berhadapan dan bercakap 'like a grown man', kalau tidak mahu (dikritik), jangan kutuk orang," katanya.

Menyentuh perkembangan dirinya, Joe berkata beliau bercadang untuk mengeluarkan album solonya yang ketiga pada hujung tahun ini.

Mengulas tentang lagu baharunya “Sampai Jadi”, Joe berkata Lagu yang dihasilkan itu diharapkan sebagai pembakar semangat atau inspirasi kepada pendengar supaya mereka lebih bersemangat dalam melakukan sebarang pekerjaan dan menjalani kehidupan seharian, katanya .

"Lagu ini mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada remaja sehingga orang tua dan saya harap ia dapat menaikkan semangat mereka yang mendengar," katanya yang merancang Konsert 16 Baris yang bakal menampilkan 45 artis rap yang telah muncul sebagai tetamu dalam showcase itu.

16 Baris merupakan kolaborasi antara Kartel Records dan Rocketfuel Entertainment yang menghimpunkan artis hip hop berbakat dari sekitar Asia Tenggara dan telah mendapat tontonan lebih 100,000 menerusi video mereka di YouTube.

-Bernama

Lihat Komen