malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Maya Karin tak sabar nak memangkah
ADS

Dapat difahami apabila ada rasa teruja buat Maya Karin apabila tiba tarikh 9 Mei ini. Dia akan mengundi untuk kali pertama bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Sebenarnya pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini bukanlah peluang pertama yang hadir buat pelakon terkenal itu.

Dia yang mendapat taraf warganegara Malaysia pada 2009 sepatutnya boleh mengundi pada PRU ke-13 lalu.

Bagaimanapun, tuntutan kerja di luar kawasan yang tidak boleh dielakkan menghalang dia mengundi pada waktu itu.

"Tahun ini senang, ada di sini dan akan berada di Kuala Lumpur bersama emak," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu, lima tahun lalu dia berhajat untuk mengundi namun pada waktu sama terikat dengan komitmen kerja.

Katanya ketika itu dia menjalani penggambaran filem jauh di kawasan pedalaman Sarawak.

"Memang saya tidak sempat untuk berulang-alik mengundi dan kembali teruskan penggambaran," katanya.

Aktres berdarah kacukan Jerman dan Cina itu berkata, terlepas daripada peluang untuk memangkah kertas undi sewaktu PRU ke-13 memang mengecewakannya.

"Macam-macam saya rasa - ada sedih, kesal, geram bercampur kecewa," katanya

Namun, apabila tiba waktu malam pengumuman keputusan Maya tidak melepaskan peluang untuk mengambil tahu apa yang berlaku.


Baca Debaran menjelang PRU14: Apa kata selebriti?


Dia masih ingat, pada malam 5 Mei 2013 dia duduk di depan TV dari awal hingga ke akhir keputusan diumumkan.

"Justeru, memang kali ini saya tidak sabar-sabar mahu mengundi.

"Ramai juga rakan-rakan saya yang sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung untuk mengundi. Jom kita mengundi!" katanya.

Lihat Komen