malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aizat gubah lagu versi Hindi untuk ayah yang lumpuh
ADS

Penyanyi dan pengubah lagu, Aizat Amdan mengambil langkah berani apabila mencuba sesuatu yang baru apabila single Sampai Ke hari Tua dialih bahasa dalam versi Hindi.

Aizat berkata, dia berbuat demikian bagi memenuhi permintaan bapanya Datuk Amdan Mat Din yang kini terlantar akibat penyakit strok yang menyebabkan sebelah kanan badannya lumpuh.

“Sebenarnya bagus untuk seseorang artis mempelbagaikan pengalamannya dalam muzik agar senang untuk meluaskan sasaran pendengar.

“Pada waktu sama, ini juga adalah impian ayah. Dia yang suruh saya cuba nyanyi lagu dalam pelbagai bahasa selain Bahasa Melayu seperti Hindi dan Mandarin.

"Saya pun ambil inisiatif untuk mencuba," katanya yang cukup menggemari karya-karya komposer dari India, A R Rahman.

Pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan, 29, itu temui pada sidang pelancaran Sampai ke Hari Tua dalam versi Hindi di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Menurut Aizat, meskipun masih tidak boleh bercakap dan menggunakan kerusi roda, bapanya kini berada dalam keadaan stabil dan ia sedikit sebanyak membuatnya berasa lega kerana berjaya menunaikan hasrat orang tuanya itu.

"Apa yang berlaku pada setiap hari saya akan maklumkan kepada bapa termasuk mendengarkan lagu ini.

"Saya tidak tahu dia faham atau tidak tetapi kami tawakal pada Allah yang mampu menyembuhkan hambanya yang sakit.

"Memang kalau diizinkan Tuhan saya mahu lihat dia kembali tersenyum," katanya.

Lagu berkenaan untuk versi asal menemui peminat secara rasmi 16 Februari lalu manakala versi Mandarin bakal dirakam dan akan dilancarkan pada 11 Mei depan.

"Insyallah selepas ini saya akan teruskan dengan versi Mandarin kerana turut terinspirasi dari penyanyi Shila Amzah yang sudah berjaya melebarkan sayapnya ke China," katanya.

Dibantu jururawat ayah

Pemenang Vokal Terbaik (Lelaki) Anugerah Industri Malaysia ke-16 itu berkata, dia turut berdepan kesukaran untuk menyanyikan lagu dalam bahasa asing terutama apabila ia bukan bahasa kerap digunakan olehnya.

Untuk itu, penyanyi yang dicungkil bakatnya melalui program realiti Akademi Fantasia ini mendapatkan khidmat terjemahan daripada jururawat yang menjaga bapanya di rumah iaitu Jassi yang boleh berbahasa Hindi.

"Kalau nak diikutkan skala kepayahan untuk menyanyi versi Hindi ini adalah 7 per 10. Tetapi dengan khidmat Jassi cabaran dihadapi dapat dipermudahkan selain saya belajar banyak perkara darinya.

"Jassi datang dari India dan dia juga terbabit dalam sesi rakaman untuk memastikan sebutan dan nyanyian betul," katanya yang mengambil hingga dua tiga hari untuk menghafal lirik berkenaan.

Terdahulu, ada pihak mendakwa Sampai Ke Hari Tua (versi asal) diceduk daripada lagu popular dari Indonesia, Surat Cinta untuk Starla nyanyian Virgoun.

Bagaimanapun Aizat menafikan dakwaan itu dan berkata ia diinspirasikan daripada lagu Man Bai, Kau Ilhamku.

Lagu berkenaan menurut Aizat mengisahkan hubungan cinta yang kekal hingga ke hujung usia.

Selain itu, sesuai dengan objektif penghasilannya, Aizat memperdengarkan Sampai Ke Hari Tua buat julung-julung kali pada majlis resepsi pasangan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin.

Video muzik asal lagu ini juga sudah mencatat lebih 1.3 juta tontonan di Youtube Blog Aizat sejak dilancarkan.

Lihat Komen