malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hael Husaini berjaya 'jampi' Dayang untuk Haram
ADS

Minat terhadap Dayang Nurfaizah sudah lama dipendam sejak kecil, justeru pertemuan pertama di tepi tangga menguatkan lagi hasrat Hael Husaini untuk menyunting penyanyi itu menjadi rakan duetnya.

Dua belas tahun lalu ketika Hael disapa mesra penyanyi dari Sarawak itu, peraih Anugerah Juara Lagu ke-32 berkenaan masih belum bergelar artis.

Kata pemilik nama sebenar Hal Husaimi Ramzi, 30, Dayang adalah seseorang artis popular paling diminatinya.

"Dayang adalah artis pujaan saya yang pertama. Pertama kali berjumpa dengannya ketika dia menjayakan sebuah program di Planet Hollywood. Saya hadir sebagai penonton saja," katanya.

Hael dan Dayang ditemui pada majlis pelancaran single Haram baru-baru ini.

Haram mengisahkan perhubungan dua insan yang terhalang atau tanpa restu.

Penyanyi lagu Jampi yang teruja menjalin kerjasama dengan Dayang itu malah berkata, segala yang berlaku ibarat mimpi jadi kenyataan.

"Apabila dapat bekerjasama perasaan itu lain macam. Dapat bekerja dengan orang yang kita suka membuatkan kita rasa nak buat semua benda betul-betul.

“Cuma ada juga timbul kerisauan, adakah mampukah kami mendapatkan keserasian,” katanya.

Sementara itu, Dayang, 36, berkata, apabila menerima pelawaan Hael untuk berduet, dia tidak terus bersetuju sebaliknya membuat penelitian terhadap lagu terlebih dahulu.

Katanya, ia bertujuan untuk melihat kesesuaian vokal masing-masing.

“Saya tidak mahu main redah, ia tidak menunjukkan tahap keseriusan dalam bekerja. Tetapi alhamdulillah selepas mendengar lagu dan suara Hael, saya berkenan serta hasilnya juga baik," katanya.

Lihat Komen