malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu komen berat lebih 60kg, Zaihani mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 19, 2018 3:46 PM
Dikemaskini: 9:36 AM
ADS

Walaupun berpendapat kenyataan dikeluarkannya mengenai orang berbadan besar diperbesar-besarkan, pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain mengaku menjadi satu kesalahan untuknya menulis sesuatu yang mengelirukan dalam Facebook baru-baru ini.

Zaihani, seorang konsultan dan penata gaya terkenal dalam kalangan selebriti membuat kenyataan orang dengan berat badan melebihi 60kg tidak wajar menghadiri acara fesyen kerana boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada tetamu yang duduk di bersebelahannya.

“Sekiranya status saya menyinggung perasaan mana-mana ahli keluarga, kawan kawan dan pengikut, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. Jauh dari lubuk hati.

“Bukan niat saya untuk menghina sesiapa dan akui memang salah apabila menyebut mengenai berat badan itu. Status di Facebook saya tempoh hari adalah luahan hati mengenai situasi yang saya alami baru baru ini.

“Sepanjang kerjaya sebagai ketua penata gaya selama hampir tiga dekad, saya tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab jika saya bersikap suka jatuh hukum,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, Zaihani dikecam pelbagai pihak termasuk golongan selebriti apabila tampil dengan kenyataan dianggap penghinaan kepada orang berbadan besar.

“Kalau berat badan melebihi 60 kg, tak payahlah datang sebabnya peha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak.

“Ia sungguh menjanggalkan dan tidak menyelesakan buat orang yang duduk di sebelah kamu,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut situasi sebenar dialami, Zaihani berkata dia sebenarnya tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti orang bertubuh gempal.

Sebaliknya dia terpaksa berdepan dengan perbuatan seorang tetamu yang duduk dengan gaya dianggap kurang sopan digambarkan sebagai “manspreading.”

“Pada hari kejadian, saya duduk di sebelah seorang tetamu lelaki yang tidak menghormati ruang tempat duduk saya. Kakinya terkangkang sehingga terlebih ke kerusi saya dan buat tidak tahu meskipun saya menunjukkan kelakuan tidak selesa.

“Baru saya tahu situasi sebegitu adalah isu “manspreading” yang mana ia sebenarnya agak kurang ajar. Bagaimanapun, sewaktu menulis kenyataan itu di Facebook, saya belum lagi tahu terma terbabit,” katanya.

Menurut Zaihani, kenyataan itu dibuatnya kerana beranggapan tetamu lelaki terbabit tidak menghormati dirinya meskipun menyedari kaki mereka bersentuhan.

“Saya menulis angka 60 kilogram itu sebagai analogi kepada situasi itu. Mana tidak, tetamu lelaki berkenaan yang duduk di sebelah sepertinya tidak hormat saya sebagai wanita dan biarkan saja kakinya berlaga dengan kaki saya.

“Tidak mungkinlah saya maksudkannya terang-terangan memandangkan saya sendiri ramai kawan yang berbadan besar. Jauh sekali mahu menghina fizikal orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai komen segelintir pihak yang berpendapat wanita sepertinya yang dikategori sebagai pangkat nenek tidak sesuai menghadiri pertunjukan fesyen, Zaihani menjawab dia perlu menghormati setiap jemputan yang diterima.

“Apabila sudah mendapat jemputan, saya kenalah datang sebagai tanda sokongan kepada pereka fesyen berkenaan. Lagipun, di usia sebegini pun perasaan kecintaan saya terhadap fesyen masih mendalam,” katanya.

Zaihani turut berkata, dia kesal apabila luahan peribadi dibuat dalam akaun Facebook miliknya yang diletakkan dalam mod ‘private’ menjadi tular.

“Sepatutnya luahan itu hanya untuk tatapan kawan-kawan saya saja. Sebaliknya ada individu tidak bertanggungjawab pergi menyebarkannya di internet pula.

“Memang saya sangat kesal apalagi konteks asal kenyataan itu disalaherti,” katanya.

Lihat Komen