malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Edry bimbang anak istimewanya masih belum boleh bercakap
Diterbitkan:  Apr 19, 2018 10:00 AM
Dikemaskini: 2:09 AM
ADS

Antara sebab Edry Abdul Halim mengambil keputusan untuk membubarkan kumpulan KRU selepas 25 tahun berada dalam industri adalah demi menumpukan perhatian kepada anak istimewa yang dimilikinya.

Kata Edry, 41, kebimbangan timbul ekoran Emery yang bakal mencecah usia 10 tahun dan mengidap penyakit autisme masih belum boleh bertutur.

Demi membantu perkembangan Emery, Edry dan keluarga merancang untuk memulakan kehidupan baru di Eropah bagi membolehkan anak ketiganya itu menerima pendidikan dirasakan terbaik.

“Selama ini, kerja saya mengajar orang lain. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak saya tumpukan perhatian penuh kepada anak istimewa sendiri.

‘Demi masa depannya, kami sekeluarga sedia berhijrah, mungkin untuk setahun dua dahulu,” katanya.

Memetik BH Online, Edry bagaimanapun memaklumkan dia masih belum menentukan lokasi pengajian tertentu untuk Emery.

“Saya dan isteri belum putuskan lagi lokasinya, tetapi di Eropah. Bukan tiada pusat pendidikan yang bagus di sini, namun kemudahan untuk kanak-kanak autisme di sana lebih lengkap.

“Sepatutnya kami bertolak bulan depan, sehari selepas Konsert Gergasi KRU 25. Disebabkan puasa dan raya sudah dekat, kami tangguhkan pemergian selepas Aidilfitri,” katanya.

Terdahulu, KRU yang turut dianggotai dua abangnya, Datuk Norman dan Yusry mengumumkan pembubaran kumpulan berkenaan bakal berlaku secara rasmi pada hari terakhir konsert, iaitu pada 6 Mei.

Untuk makluman, Konsert Gergasi KRU 25 itu bakal bermula pada 4 Mei di Istana Budaya.


Menurut Edry, mereka sepakat memilih untuk bersara kerana beranggapan sudah tiada apa lagi hendak diburu selain kini ingin menumpukan perhatian terhadap komitmen masing-masing.

“Kami tidak pernah merancang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada nyanyian selepas 25 tahun bersama, tetapi sudah tiba masanya kami berundur. Saya sendiri ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga terutama Emery.

“Dari segi bisnes, kami tetap usahakan bersama-sama dengan bantuan teknologi. Segala tugasan penerbitan dan sebagainya akan tetap diteruskan seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang menyokong KRU sejak 25 tahun lalu," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.


 

Lihat Komen