malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Festival Filem Pendek Nusantara tampil pengarah muda
ADS

Festival Filem Pendek Nusantara 2018 (FFPN2018) yang julung kali diadakan bakal menjadi platform bagi mengangkat karya-karya pembuat filem golongan muda dan sekaligus merancakkan industri kreatif negara.

FFPN 2018 yang melibatkan penyertaan dari negara Asean berumur di antara 17 hingga 35 tahun itu merupakan anjuran bersama Persatuan Pengkarya Filem Muda Malaysia (MYFA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita Malaysia (WADI Malaysia).

Timbalan Presiden MYFA Syed Muhammad Aqib Syed Ali berkata penyertaan FFPN 2018 dibuka sejak Februari lepas akan ditutup pada 15 Jun ini menawarkan hadiah bernilai RM30,000 buat pemenang yang bakal diumumkan pada 7 Julai ini.

"Tema pertandingan adalah bebas tetapi mestilah menerapkan mesej positif dan mendidik, mendukung nilai masyarakat timur, tidak melanggar etika serta sensitiviti mana-mana kaum, budaya mahupun anutan mana-mana agama.

"Filem pendek yang dipertandingkan wajib menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan wajib memasukkan sarikata dalam Bahasa Melayu," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine 11, terbitan Bernama News Channel (BNC) di Kuala Lumpur hari ini.

Syed Muhammad Aqib yang menyasarkan penyertaan 120 filem pendek berkata pihaknya telah menerima lebih 30 penyertaan setakat ini.

"Antara lain, penganjuran festival ini juga bertujuan himpunkan pembuat filem muda di negara kita dan terlalu ramai yang berbakat, tetapi mereka tiada platform khusus untuk ketengahkan hasil-hasil mereka," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, orang ramai boleh melayari laman Facebook Festival Filem Pendek Nusantara.

-Bernama

Lihat Komen