malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Radja anggap ada hikmah tunda konsert demi PRU14
ADS

Walaupun yakin dengan sambutan peminat yang tidak sabar untuk melepas rindu pada Mei depan, band Indonesia, Radja "terpaksa akur" dengan menunda tarikh konsert mereka ke 14 Julai 2018 ini demi menghormati kewajipan rakyat Malaysia mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Konsert Radja Malaikat Cinta yang sepatutnya dijadual pada 5 Mei itu ditangguh bagi memberi peluang kepada peminat sekiranya mereka perlu pulang ke kampung masing-masing dan menjalankan tanggung jawab membuang undi pada 9 Mei nanti.

Menganggap perkara itu sebagai suatu pendekatan positif, vokalis Ian Kasela berkata, cadangan daripada pihak penganjur Belbis Sdn Bhd untuk menunda konsert berkenaan dirasakan tidak akan menjejaskan perancangan yang sudah disusun rapi sebelum ini.

“Kami mengetahui situasi pilihan raya umum itu melalui televisyen, justeru apabila penganjur memberi idea untuk mengubah tarikh berkenaan lantas ia terus kami persetujui.

“Kami juga menganggap ada hikmah, ia ibarat diberi waktu tambahan bagi mempromosi Radja Malaikat Cinta dengan lebih meluas,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman penundaan tarikh konsert berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, tiga lagi anggota kumpulan itu iaitu Moldy (gitaris), Seno (basis) dan Adit (dram).

Memandangkan kali terakhir Radja membuat persembahan berskala besar di sini adalah pada 2006, seboleh-bolehnya mereka mahu memastikan persembahan selepas 12 tahun penantian itu nanti bakal menggamit perasaan peminat.

“Kami mahu meninggalkan memori manis untuk peminat Radja di Malaysia dan memberikan yang terbaik, itu antara sebab kami mengambil waktu cukup lama sebelum mengadakan konsert di sini. Tahun ini juga adalah tahun ke-17 kami berkecimpung dalam industri.

“Pada malam itu juga kami akan memperdengarkan buat pertama kali single berjudul Malaikat Cinta istimewa buat peminat yang ternanti-nanti buah tangan terbaru dari kami.

“Sebelum ini kami pernah membuat persembahan pada 2010 di sini tetapi berkongsi pentas dengan beberapa artis lain. Syukur selepas 12 tahun kami berpeluang mengadakan konsert tanpa pemuzik yang lain,” katanya.

Malaikat Cinta dilancarkan di Jakarta pada 19 Mac lalu.

Radja bakal mempersembahkan sekurang-kurang 15 hingga 20 buah lagu termasuk Jujur, Benci Bilang Cinta, Tulus dan Takkan Melupakanmu.

Konsert yang turut mendapat kerjasama AV Group &Symphony Music itu dijadual bermula 8.30 malam di StarXpo Centre, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur.

Tiket berharga antara RM85 dan RM285 boleh didapati dengan melayari: www.airasiaredtix.com.

Lihat Komen