Biar pun menyerahkan borang permohonan untuk kembali menyertai Umno melalui orang besar parti itu nasib penyanyi Herman Tino masih di awang-awang.
Hampir dua tahun berlalu belum ada pengesahan daripada Umno sama ada Herman sudah menjadi ahli parti itu atau terus terhukum.
Puncanya dia - ketika itu ahli berdaftara Umno - menjadi calon bebas di kawasan Tanjung Karang semasa PRU ke-13.
Selain Herman, turut bertanding di kerusi parlimen itu ialah Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan calon PAS Mohamad Rashdi Deraman.
Noh muncul sebagai pemenang dengan mengalahkan ketiga-tiga pencabarnya itu dengan kelebihan 4,394 undi.
Tidak hanya kalah Herman - atau nama sebenarnya Masrun Tamsi - cuma mendapat 340 undi. Dia juga dipecat daripada Umno sesuai dengan perlembagaan parti berkenaan.
Pada Julai 2016 Herman menyerahkan permohonan untuk kembali menyertai Umno dan borang permohonan penyanyi Ojo Kesandung (Jangan Tersepak) itu diserahkan kepada Noh - orang yang dilawannya pada 2013.
Umno masih di hati
Menurut laporan mStar Online justeru kini Herman, 63, dikatakan sedang memujuk hati supaya tidak mengambil langkah drastik sekali lagi.
"Saya cuba untuk pujuk hati untuk tidak bertanding (dalam PRU ke-14) kerana tak mahu cari pasal.
"Saya bertanding sebelum ini pun kerana tanda protes terhadap parti," katanya yang mengaku masih sayang kepada Umno.
Pada masa sama kata Herman dia mendoakan agar Umno memilih calon yang sesuai dan berpotensi besar untuk menang di kerusi yang ditandingi BN kali ini.
"Saya masih sayang pada Umno dan mendoakan supaya parti ini menang," katanya dipetik mStar Online.
Penyanyi yang terkenal dengan identiti meletakkan kain pelikat di bahu semasa membuat persembahan itu berkata dia sedia untuk bertanding sekali lagi dalam PRU ini jika calon yang diturunkan BN dianggap berat sebelah atau tidak disukai rakyat.
"Mana-mana kawasan di Selangor, kalau kita boleh kesan calon itu semuanya adalah tidak layak tapi dipilih, masa tu nanti saya tak tahu macam mana nak pujuk hati saya," katanya.
Baca Herman Tino, 12 NGO pertahan Khalid
Namun menurut mStar Online Herman menegaskan pertimbangan tersebut tidak merujuk pada kerusi Tanjung Karang yang disandang Noh.
Mengenai Noh, Herman berkata dia mencabar pemimpin terbabit bukan kerana benci tetapi tidak berpuas hati dengan masalah dalaman parti.
"Tapi kalau di Selangor calon dipilih secara tidak adil dan tidak disukai oleh rakyat, maka saya terpaksa cari pasal (bertanding)," katanya yang turut popular dengan lagu Kupendam Biapun Parah.
Lagu penting dan malar segar lain daripada Herman ialah Mengapa Dikenang Mengapa Difikir, Derma Bukan Tontonan serta Pelita Di Dalam Kabus.

