malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesanan Usman Awang buat cendekiawan
ADS

ULASAN l Hari ini jika Usman Awang membaca hantaran dalam laman media baru, beliau mungkin akan menggeleng kepalanya berkali-kali membaca tulisan-tulisan yang mencemuh si badut di atas pentas selepas kehilangan rentak persembahannya.

Mengapa begitu tegar sekali melontar kata yang jelik, jijik dan memualkan serta dapat dibaca di langit terbuka? Hilang sudahkah susila, atau memang tidak pandai beraksi, atau tidak layak mengusung bintang kejora di atas pentas?

Usman sudah lama tiada. Beliau turut sama berada di 'makam bonda'.

Kira-kira 48 tahun lalu, di kota London. Seorang lelaki Melayu pertengahan usianya. Segak, jernih, tenang wajahnya. Itulah Usman Awang. Usman berdiri di hadapan para pelajar Malaysia dan Singapura yang berkumpul di Malaysian Hall di kota London.

Dingin cuaca London tentu jauh dingin berbanding malam di Kuala Sedili, Johor, yang menjadi kampung kelahiran sasterawan itu.

Usman tidak berpuisi seperti kebiasannya. Di hadapan Usman ialah anak-anak muda yang bakal meneraju tanah air.

Hari itu - 25 Mei 1970 - kota London dipayungi musim bunga. Bunga tulip, lily dan bluebell sedang mekar menerima kehadiran bekas ketua pengarang Utusan Melayu yang pernah mogok melawan ketidakadilan pemerintah dan majikan.

Dekad melawan penindasan

Acara pada hari itu bukan biasa-biasa. Acara musim bunga kali itu bukan pesta bersuka ria. Ia adalah acara kemanusiaan. Acara kenegaraan oleh seorang sasterawan.

Menurut Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh dalam bukunya, Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh, Usman menjadi wira pelajar pada dekad 1970-an dan 1980-an. Dia dilihat sebagai pejuang hak asasi dan teman kepada pelajar yang pemurah.

Sememangnya dekad tersebut adalah era perlawanan menolak penindasan agar bebas daripada cengkaman penjajahan dan kemiskinan.

Acara bersama anak-anak muda memang sangat diraikan. Acara sebegitu menjadikan Usman semakin bertenaga dan muda.

Usman memulakan kata-katanya dengan ungkapan "saudara pengerusi, hadirin yang saya muliakan". Ia suatu mukadimah yang sangat merapat di antara pembicara dengan pendengar.

Antara suara hati seorang penulis, penyair dan dramatis, dengan suara anak muda yang bersemangat, pemarah, gagah, tampan dan pesona. Usman tidak berdeklamasi puisinya yang halus dan penuh makna.

Hari itu, Usman berdiri membaca teks yang dia sendiri sediakan. Tajuknya, Peranan Intelektual.

Menyedari dirinya hanya belajar di sekolah Melayu dan tidak pernah berada dalam sebuah sistem pendidikan moden, Usman mencari titik pertemuan di antara dirinya dengan khalayak yang hadir.


Baca Lima sasterawan negara tolak PPSMI


Bukan mudah untuk berucap jika hanya bermodalkan nama dan kedudukan sebagai seorang sasterawan serta penulis. Khalayaknya pula adalah golongan yang disebut cerdik pandai ataupun intelektual.

Usman memilih untuk mencari pengertian intelektual (cendekiawan) sebagaimana pernah diperbahaskan sebelum itu. Bagi Usman, yang disebut intelektual itu - pertamanya - ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan otak (fikiran) dan sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai keperluan zaman. Ilmunya tidak beku dan basi.

Kedua, ialah orang yang sentiasa berfikir, menyumbang dan mengembangkan ideanya kepada masyarakat.

Ketiga, intetelek itu orang yang menggunakan ilmu pengetahuan dan ketajaman akalnya untuk mengkaji serta merumus permasalahan dalam masyarakat untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan. Setiap butir bicara intelektual seharusnya kukuh, jitu dan sederhana. Hujahnya diterima atau dikritik secara saksama.

Keempat, intelek itu orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuangkan kebenaran meski menghadapi tekanan, ancaman demi kemajuan dan kebebasan rakyat.

Tolak idea individulisme

Empat ciri yang disebut oleh Usman itu sekaligus menghuraikan peranan-peranan yang perlu dimainkan oleh para cendekiawan. Ilmu yang dimiliki seseorang itu ibarat pencetus kepada gerakan yang seterusnya. Bukan tiket untuk popular atau bersikap borjuis.

Bagi Usman, peranan intelektual tidak boleh dilihat dari kaca mata penjajah, pemimpin, menteri dan tidak juga daripada kaca mata rakyat. Peranan intektual itu lahir daripada pandangan mereka sendiri yang mengintegrasikan diri dengan kehidupan rakyat, mengenal harapan dan cita-cita rakyat, menyerap duka laranya dan bernafas dengan nafas rakyat.

Para cendekiawan yang berkeinginan popular dan berjiwa borjuis akan kecewa jika memilih parti politik sebagai jalan berkhidmat untuk rakyat.

Entah mengapa Usman agak sangsi pada ahli politik atau cendekiawan yang ghairah kepada parti politik. Puisi dan dramanya sering sinis dan mengkritik manusia politik yang berkuasa.

Bukan bermakna Usman membenci atau mengelak ahli politik dan dunia politik. Usman mempunyai ramai kenalan daripada kalangan ahli politik. Usman akrab dengan Ahmad Boestaman, Zulkifli Muhammad, Syed Husin Ali, Anwar Ibrahim dan tokoh politik lain.

Usman sekadar membenci politik yang menerbitkan rasa persengketaan, menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan bermusuh dengan alam.

Sebagai salah seorang pengasas gerakan ASAS 50, semangat dan perjuangan seni untuk masyarakat tercermin dalam komitmennya membangunkan sebuah masyarakat yang progresif dan maju.

Usman melihat sesuatu perubahan perlu dimulai dalam masyarakat. Justeru ini yang menyebabkan beliau dianggap seorang sosialis. Usman menolak idea individulisme.

Oleh sebab itu, Usman menolak hujah bahawa kekuatan individulah yang mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan dan kemunduran.

Memang terdapat contoh-contoh individu yang tetap berjaya walaupun hidup awalnya diliputi kemiskinan, kemelaratan dan kemunduran.

Ambil saja contoh Abraham Lincoln, Sukarno, Gamal Nasir dan sebagainya. Usman kata, contoh-contoh tersebut lebih bersifat individu. Usman menggagaskan tentang perlunya wujud sebuah masyarakat yang memiliki susunan dan sistem yang mendorong masyarakat untuk maju.

Pada Usman ini adalah persoalan sistem dan persekitaran. Bukan soal malas-rajin atau mundur-maju.

Cendekiawan tidak semestinya menjadi pemimpin untuk mengubah masyarakat. Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pemimpin, tetapi lebih kepada keinginan rakyat itu sendiri untuk berubah.

Ia hadir melalui denyutan nadi petani, buruh, nelayan, pengganggur, mahasiswa dan segenap lapisan masyarakat. Para cendekiawan sendiri mengintegrasi diri mereka dengan rakyat.

Maka pada akhirnya, cendekiawan menjadi lidah dan kaki rakyat, bukan menjadi pecacai kepada parti politik.

(Teks ucapan Usman Awang di Malaysian Hall, London pada 25 Mei 1970 dapat dibaca dalam Jurnal Antropoloji dan Sosioloji Bil 1, 1971/1972 terbitan Persatuan Kajimanusia & Kajimasharakat. Universiti Kebangsaan Malaysia.)


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Rencana ini bukan semestinya membayangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen