malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Menyerah kalau tak mau aib
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 11:53 PM
Dikemaskini: 3:55 PM
ADS

Pihak berkuasa negara menasihati artis negara ini supaya bertindak bijak dan mengelak daripada berasa malu dengan menyerah diri jika terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Hussin berkata pihaknya memberi jaminan artis yang menyerah diri tidak akan diaibkan.

Menurut Abd Halim langkah itu dijalankan dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan bertujuan untuk membantu artis terbabit pulih daripada ketagihan.

"Kita mahu sesiapa saja yang terlibat, datang secara sukarela dan kita akan bantu untuk dapatkan rawatan," katanya dipetik Sinar Online hari ini.

Abd Halim ditemui sempena program flash mob sempena sambutan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 di Kuala Lumpur.

Pada 8 Feb lalu Malaysiakini melaporkan SENIMAN dan AADK menjalin kerjasama untuk membendung amalan penyalahgunaan dadah dalam kalangan penggiat seni.

Melalui kerjasama itu mereka akan mengadakan operasi di lokasi penggambaran drama atau filem di negara ini.

Setiausaha Agung SENIMAN Hafiz Nafiah berkata serbuan itu dirancang akan turut disertai oleh beberapa persatuan serta agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Katanya kerjasama dua hala dijalinkan SENIMAN dengan AADK dibuat berikutan masalah berkaitan dadah timbul satu persatu membabitkan artis tempatan.

Abd Halim berkata jika ada artis yang ditahan gagal dalam ujian saringan tindakan sewajarnya tetap akan diambil ke atas mereka.

Lihat Komen