malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aktor badan sasa The Mummy pun kena raba
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 8:49 AM
ADS

Tanda pagar #MeToo - platform untuk seseorang individu tampil mendedahkan diri sekiranya pernah menjadi mangsa gangguan dan serangan seksual bukan saja diguna pakai golongan wanita.

Malah kempen di media sosial itu turut mendapat respon daripada lelaki yang pernah mengalami nasib serupa.

Salah seorangnya, bintang filem The Mummy, Brendan Fraser.

Aktor berbadan kekar yang popular era 1990-an itu kini berkongsi peristiwa hitam yang disimpan sejak sekian lama kepada pengetahuan umum.

Melalui wawancara dengan majalah GQ, pelakon itu mendakwa dia diraba oleh bekas presiden media asing Hollywood, Philip Berk 15 tahun lalu sewaktu menghadiri sebuah majlis dianjurkan Persatuan Media Asing Hollywood (HFPA).

Walaupun Fraser bernasib baik dapat mengalihkan tangan Berk daripada belakang tubuhnya, insiden itu ternyata masih meninggalkan trauma.

“Saya berasa sangat jijik. Saya berasa seperti seorang kanak-kanak. Saya berasa seperti ada sebiji bola di tekak. Saya seakan-akan mahu menangis.

“Saya juga berasa seolah-olah seseorang melemparkan cat halimunan ke atas saya,” katanya seperti dilapor ABC.

Berk bagaimanapun mendakwa tuduhan dibuat Brendan, 49, itu “keseluruhannya hanya rekaan semata-mata.”

Selain The Mummy, pelakon yang turut popular dengan filem George of The Jungle itu berkata, dia pernah mempertimbangkan untuk membuat pendedahan sebaik insiden berlaku, namun membatalkan hasratnya itu.

Katanya, dia tidak mahu perasaannya terganggu ketika itu dengan bercerita kisah dilalui.

Bagaimanapun, selepas berubah fikiran, Fraser memberitahu dia ada menghantar wakil untuk menggesa surat permohonan maaf dari HFPA.

Dan Berk membalas: “Maaf saya tidak mengaku bersalah."

“Tetapi sekiranya saya ada melakukan sesuatu yang menggangu Fraser, ia tidak disengajakan dan saya meminta maaf,” katanya.

HFPA turut berjanji kepada Fraser untuk tidak membiarkannya bekerja sendirian dengan Berg lagi.

Karier merosot selepas itu

Pada masa sama, Fraser turut tertanya-tanya sekiranya organisasi terbabit menyenaraihitamkan namanya selepas kejadian terbabit kerana kerjanya selepas itu jatuh merudum.

Berk sekali lagi menafikan dakwaan itu dengan berkata dia tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Fraser.

“Kariernya yang merosot tidak ada kena mengena dengan kami,” katanya.

Sementara itu, HFPA menjelaskan pihaknya menentang sebarang bentuk serangan seksual dan kelakuan seumpama itu.

“Laporan ini termasuk maklumat yang dikatakan bahawa HFPA sebelum ini tidak menyedari isu terbabit malah ketika ini kami sedang menyiasat maklumat lanjut mengenai kejadian itu,” menurut satu kenyataan.

Fraser yang kini sedang menjayakan siri FX Trust mengaku perasaannya mengenai kejadian itu masih bercampur-baur, tetapi mampu menarik nafas lega kerana berani membuat pendedahan.

"Mungkin saya bertindak berlebihan dari segi apa yang berlaku. Saya cuma tahu kebenaran dan itulah yang saya dedahkan kepada anda,” katanya.

Lihat Komen