malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada silat dalam diri wira Black Panther
Diterbitkan:  Feb 22, 2018 9:34 PM
Dikemaskini: 1:47 PM
ADS

Wakanda ialah sebuah negara khayalan yang cuma muncul dalam kisah Black Panther.

Namun di sebalik kecanggihan itu rupa-rupanya kewujudan negara yang tersembunyi itu mempunyai suatu kaitan dengan masyarakat Melayu.

Malah ia berhubung secara langsung dengan Raja Wakanda, T’Challa . Ia adalah seni bela diri yang diamalkan pemerintah itu.

Menurut Chadwick Boseman untuk menjayakan filem berkenaan pihak produksi melakukan kajian mendalam berhubung adat dan budaya Afrika.

Sesuai dengan sifat filem itu yang padat dengan aksi, pihak produksi membuat persediaan rapi bagi mencipta gerakan tangkas dan menawan menggunakan ilmu seni bela diri yang dirasakan sesuai.

Boseman yang membawa watak T’Challa dan Black Panther itu menjelaskan disiplin yang terpilih ialah seni bela diri capoeira yang terkenal di Brazil dan mempunyai kaitan dengan seni bela diri angola di Afrika.

"Juga tinju dambe dari Afrika Barat, gusti Senegal, kemahiran tempur kayu Zulu serta gabungan seni bela diri muay thai dan silat harimau," katanya seperti dipetik akhbar Singapura, Straits Times, hari ini.

 

 

Black Panther kini sedang menguasai pawagam di seluruh dunia kerana keunikan yang dipersembahkannya berbanding filem adiwira lain.

Jika sebelum ini filem fisyen Marvel itu hanya menampilkan watak berkulit putih sebagai wira, Black Panther menyajikan sebaliknya.

Malah ia juga memaparkan 'kekuatan' tersembunyi negara di benua Afrika.

Selain Boseman, Black Panther turut dibintangi pelakon kulit hitam lain seperti Michael B Jordan, Lupita Nyong'o, Danai Gurira, Daniel Kaluuya dan Letitia Wright.

Pengarah Black Panther pula ialah Ryan Coogler.

Penerbit Eksekutif Black Panther, Nate Moore, berkata mereka membuat perancangan selama bertahun-tahun sebelum berjaya menghasilkan filem berkenaan di layar perak.

"Kami mahu memastikan Black Panther dapat berdiri sendiri.

"Watak itu juga mempunyai kaitan yang banyak dengan sejarah serta pelbagai kisah hebat," katanya.


Baca Gay, gay Power Rangers


Sementara itu satu klip video dimuat naik Boseman pada Mei tahun lalu memaparkan dia menjalani latihan sebagai persediaan beraksi di depan kamera.

Sesetengah orang berpendapat aksi yang ditunjukkan Boseman itu adalah gerakan silat harimau.

Laman sesawang Marvel pula menyatakan seni bela diri yang mempunyai hubungan yang mendalam dengan masyarakat Melayu itu turut dipelajari Lupita yang membawa watak Nakia.

"Apabila tiba kepada aksi pertempuran Nakia, kaedah yang dipamerkannya adalah gabungan seni bela diri judo, jiu-jitsu dan silat," katanya.

Lihat Komen