malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Namewee sah ditahan polis
Diterbitkan:  Feb 22, 2018 8:08 PM
Dikemaskini: 12:30 PM
ADS

Beberapa hari selepas namanya dipetik kerana klip video Like A Dog, penyanyi dan pencipta lagu Namewee dilaporkan ditahan polis siang tadi.

Dakwaan itu dibuat pengendali akaun Facebook Namewee kira-kira jam 5 petang.

"Namewee kini telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kami akan sentiasa memberikan kerjasama pada pihak polis," kata kemas kini di Facebook penyanyi terbabit.

Pagi tadi Namewee memuat naik gambarnya di depan Bukit Aman dan memaklumkan dia hadir ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia berkenaan untuk memberi keterangan.

"Saya tak gentar kerana saya percaya Malaysia mempunyai keadilan.

"Terima kasih pada semua yang menyokong Namewee. Saya tidak akan tunduk pada pihak media," katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan rasmi malam ini, PDRM berkata Namewee ditahan ekoran empat laporan diterima polis sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata laporan berkenaan dibuat berhubung satu klip video "berunsur hinaan terhadap agama serta boleh membawa implikasi negatif terhadap perpaduan dan keharmonian kaum."

"Satu tangkapan telah dibuat bagi membantu siasatan polis," katanya yang merujuk kepada Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Kata Wan Ahmad Najmuddin Namewee ditahan pada jam 2.45 petang.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.


Baca PERKASA desak k'jaan tarik kerakyatan Namewee


Untuk rekod pada 18 Feb lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan PDRM sedang menyiasat kes video yang dipertikaikan sesetengah pihak itu.

Menurut laporan The Star, polis turut bekerjasama dengan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mencetuskan kemarahan perasaan agama orang lain, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas dakwaan salah guna kemudahan atas talian," kata Mohamad Fuzi.

Menurut pengendali akaun Facebook Namewee, mereka menghargai setiap sokongan yang diberikan.

"Mari kita bersama-sama berdoa untuk Namewee," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen