malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Najib bikin semangat Faizal berkobar-kobar
ADS

Teruja tak terkata - begitu perasaan penyanyi Faizal Tahir apabila lagunya, Negaraku, menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata Faizal, Najib menciap dengan memetik lirik lagu bertemakan patriotik berkenaan di akaun Twitter milik perdana menteri itu hari ini.

"Perdana Menteri Najib menciap lirik lagu saya.

"Gembira tak terhingga sampai rasa seolah-olah anak kecil," katanya.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tajuk, 39, ditemui pada majlis minum petang sempena pengumuman misi lawatan pertubuhan disertainya, Faith For Rohingya, di Kuala Lumpur hari ini.

Misi kemanusiaan ke kem pelarian Cox's Bazaar di Bangladesh itu akan dilaksanakan mulai 5 hingga 8 Mac ini.

 

 

Cox's Bazaar kini menempatkan ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kezaliman rejim Myanmar.

Sebahagian besar masyarakat Rohingya adalah penduduk di negeri Rakhine namun tidak diiktiraf kerajaan Myanmar sebagai rakyat mereka.

Status itu mendedahkan masyarakat beragama Islam itu kepada penindasan serta penghapusan etnik sistematik yang berkali-kali dinafikan kerajaan.

Untuk rekod lagu Negaraku itu adalah kolaborasi Faizal bersama artis rap terkenal Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet yang diterbitkan tahun lalu.

Penyanyi Sampai Syurga itu juga berkata tindakan perdana menteri menciap lirik lagu berkenaan memberi semangat kepadanya.

"Apabila perdana menteri tweet lirik itu ia membuatkan saya berazam untuk menghasilkan lebih banyak lagu bertemakan kenegaraan pada masa akan datang," katanya.

Lihat Komen