malaysiakini logo
story-image
ADS

Hampir hilang segala-galanya tujuh tahun lalu, Ameng dan Spring kini bakal bersatu kembali di pentas demi memenuhi permintaan peminat bulan depan.

Pada 2011 Ameng tanpa disangka-sangka ditahan pihak berkuasa. Dia sama sekali tidak bersedia ketika ditangkap, malah rumah yang ditinggalkan tidak sempat dikunci.

Ketiadaan kumpulan yang popular pada era 1990-an itu bagaimanapun dirasai jauh lama sebelum itu, apabila kali terakhir mengadakan konsert pada 15 tahun lalu.

Kerinduan peminat itu bakal terubat menerusi Live Showcase Kumpulan Spring di Restoran D'Saji, Kuala Lumpur, 9 Mac ini.

"Ke mana-mana kami pergi peminat akan bertanya Spring hidup lagi atau tidak?

"Anggota kumpulan ini belum meninggal dunia, cuma tiada arah tuju sebab saya ditakdirkan masuk penjara bertahun-tahun," katanya pada sidang media pengumuman konsert mini berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Selepas bebas

Pada 12 April 2011, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka kerana penyalahgunaan dadah.

Dia dibebaskan lebih awal iaitu pada 14 Jun 2016 kerana berkelakuan baik.

Selepas dibebaskan, penyanyi kelahiran Terengganu itu terus rancak membuat persembahan solo dan malah mendapat tempat keempat dalam rancangan realiti Gegar Vaganza musim ke-3.

Ameng berkata Spring pada mulanya merancang untuk mengadakan persembahan pada 24 November lalu sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-49.

"Tetapi disebabkan pelbagai urusan lain timbul hasrat itu terpaksa ditangguhkan," katanya.

Pada konsert mini itu nanti, Spring menjanjikan persembahan selama 90 minit dengan lagu-lagu hits mereka antaranya Bourgenvilla, Sampai Hati, Pesanan Buat Kekasih dan Sejiwa.

Persembahan itu juga akan diserikan dengan kejutan seperti undangan artis jemputan termasuk pemuzik legenda yang pernah menaikkan nama kumpulan itu suatu masa dulu.

"Ini kaedah terbaik kerana dulu kumpulan kami begitu susah mendapat tempat. Kami anggap konsert mini ini ibarat memanaskan enjin, harap ada peluang lagi selepas ini," katanya lagi.

Lihat Komen