malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jokowi keluar wang saku tebus piring hitam Metallica
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 1:44 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengeluarkan wang saku sendiri untuk menebus set album piring hitam Metallica yang dihadiahkan kepadanya oleh perdana menteri Denmark, tahun lalu.

Joko Widodo, atau lebih mesra disapa Jokowi sebelum ini menyerahkan hadiah berkenaan kepada badan anti rasuah Indonesia (KPK).

Mengikut peraturan di Indonesia, sesuatu hadiah yang ingin diambil semula daripada agensi itu perlu dibayar mengikut harga pasaran.

“Presiden Joko Widodo bersedia mengganti barang berkenaan dengan wang. Hal ini sesuai dengan peraturan berkaitan rasuah,” kata jurucakap KPK, Febri Diansyah seperti dilapor Tempo.

Jokowi tidak asing lagi dengan sikapnya yang sering membuat pengisytiharan mengenai sebarang hadiah diterimanya kepada KPK.

Set berkenaan dihadiahkan Lars Lokke Rasmussen kepada Jokowi sebagai kenang-kenangan sempena lawatannya ke Jakarta November lalu.

Bukan lagi rahsia apabila bekas Gabenor Jakarta itu dikenali sebagai seorang peminat fanatik Metallica.

Malah sebagai sokongan, beliau pernah menghadiri konsert kugiran berasal dari Los Angeles, California itu sewaktu mereka datang ke Jakarta pada 2013.

Piring hitam edisi khusus album Metallica, Master of Puppets Deluxe Set itu dilaporkan kepada KPK pada 7 Dis tahun lalu.

Ia diisytihar menjadi milik kerajaan Indonesia pada 31 Jan tahun ini.

Tindakan Jokowi itu amat dihargai malah dianggap sebagai sikap pemimpin yang terpuji.

“Ini adalah contoh positif yang sepatutnya diikuti setiap penjawat awam dan pentadbir negara,” kata Febri.

Perkara utama menurutnya bukanlah jumlah wang yang dikeluarkan, tetapi contoh konsisten dipamerkan Jokowi iaitu sikap berhati-hati mencegah rasuah walaupun perkara itu kadang kala dianggap remeh.

Lihat Komen