malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Shukri 'bersyukur' terkapai di lautan
ADS

Shukri Yahaya sama sekali tidak menyangka ada hikmah di sebalik insiden dia terperangkap di tengah laut ketika bermain papan luncur air.

Di sebalik kejadian yang dianggap musibah itu rupa-rupanya ada nyawa insan lain dapat diselamatkan.

Kata pelakon itu kejadian terbabit berlaku sewaktu dia berada di Bali bagi menjalani penggambaran filem terbaru lakonannya Surf This Love.

“Sebenarnya sudah lama saya cuba berenang untuk naik ke darat tetapi tidak lepas-lepas kerana tak dapat melawan arus dan ombak yang cukup kuat,” katanya.

Shukri atau nama penuhnya Mohd Shukri Yahaya, 29, ditemui selepas majlis tayangan perdana Surf This Love di Petaling Jaya, semalam.

Dalam filem itu Shukri memegang watak utama - Billy - dan bergandingan dengan pelakon lain seperti Pekin Ibrahim, Cristina Suzzane, Ardell Aryana dan Josiah Hogan.

Surf This Love dijangka menemui penonton pada 22 Feb ini.

Menjelaskan kejadian itu dengan lebih terperinci, aktor yang terkenal dengan banyak drama berantai di televisyen itu berkata, ketika bergelut untuk ke darat itulah seorang lelaki kaukasia tiba-tiba menghampirinya.

Lelaki yang tidak dikenali itu kemudian memberitahunya, dia sudah hampir lemas.

“Mat saleh itu muncul entah dari mana tapi dia dakwa sudah berada di kawasan itu hampir dua jam," katanya.

Berbaloi di Bali

Sebenarnya menurut Shukri di kawasan berkenaan memang ramai pengunjung gemar berenang tanpa membawa sebarang peralatan atau mengenakan pakaian sepatutnya.

“Mungkin itulah hikmahnya saya berada di situ iaitu untuk menyelamatkan mat saleh berkenaan.

"Dia kemudian membawa papan luncur saya pergi bersamanya,” katanya.

Itu cuma sebahagian pengalaman dilalui aktor pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur keempat itu ketika menjayakan filem arahan Waan Hafiz berkenaan.

Shukri juga sebenarnya tidak terkecuali daripada berdepan detik cemas seperti mengalami kekejangan otot pada lengan, selain hampir lemas akibat dilanda ombak besar ketika bermain papan luncur.

“Saya ingat keadaan macam di Malaysia, tapi rupa-rupanya Bali berombak kuat dan menyebabkan saya rasa agak takut," katanya.

Ekoran itu Shukri mengalami beberapa kecederaan tapi ia tidak dianggap sesuatu yang dikesalkan.

Kata Shukri apa yang dialaminya di Bali itu berbaloi dan dia benar-benar berpuas hati dengan hasil yang dicurahkan.

Hasil itu, katanya, dapat disaksikan dalam filem berkenaan.


Baca Pok Ya Cong Codei layak dapat Datuk


Shukri terkenal gemar mencuba aksi-aksi lasak pada November tahun lalu dia pernah terbabit kemalangan kecil sewaktu menjalani sesi latihan di sebuah litar perlumbaan.

Untuk Surf This Love pula dia memperuntukkan masa khusus bagi menguasai sukan luncur air supaya kemunculannya dalam filem berkenaan benar-benar berkesan.

Namun masa itu tidaklah lama sebaliknya cuma seminggu. Dan tempoh berkenaan bagi Shukri tidak memadai untuk menjadikan dirinya ‘penunggang ombak’ yang mahir.

Tidak puas hanya melakonkan watak dalam Surf This Love, Shukri mencabar dirinya pula untuk bermain sukan itu yang kini menjadi hobi terbaru untuknya mengisi waktu senggang.

“Di Bali saya harus bekerja, tiada masa terluang untuk bermain betul-betul. Kemudian timbul minat selepas saya menerima tawaran membintangi Surf This Love," katanya.

Untuk permulaan Shukri berkata dia bercadang untuk bermain ombak di Tioman terbelih dulu dan sudah mengenali ramai orang yang boleh memberi tunjuk ajar.

"Jadi tidaklah sukar untuk meneruskan hobi ini,” katanya yang sudah membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli alat kelengkapan meluncur.

Naskhah yang menggunakan lokasi penggambaran di sekitar Tioman dan Bali itu mengisahkan Billy yang bekerja sebagai pemandu pelancong menggemari sukan luncur air selepas mendapat inspirasi daripada arwah abangnya - Bobby - yang juga juara luncur ombak terkenal.

Walaupun obses, Billy sebenarnya masih terkial-kial berlatih sukan itu dan memerlukan tunjuk ajar jurulatih yang lebih mahir.

Kisah kehidupan pemain luncur air ini pertama seumpamanya dihasilkan pengarah tempatan yang mahu keluar dari kepompong filem tempatan yang banyak dihidangkan dengan genre cinta.

Lihat Komen