malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Seniman mesti ada integriti
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 2:08 PM
Dikemaskini: 6:12 AM
ADS

Walaupun bergelar anak seni, nilai integriti mesti dipertahankan dan jangan melacurkan bidang berkenaan supaya mereka bolah menjadi contoh teladan, kata Datuk Afdlin Shauki.

Menurut pelawak, pelakon dan pengarah itu amalan seperti mencuri karya orang lain atau memplagiat perlu dipandang serius.

“Kalau sekadar ambil hak orang lain (untuk dipersembahkan sebagai karya sendiri), lebih baik melawak di rumah sahaja,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan itu tersiar ketika ada pihak yang menganggap sesetengah penghibur ketika ini sekadar mengitar semula idea-idea lama untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

Pada masa sama di media sosial sejak sehari dua ini tersebar isu penulis muda menyalin sajak orang lain dan menghantar karya berkenaan ke syarikat penerbitan menggunakan namanya.

Ada antara karya tersebut dipilih memenangi anugerah.

Bagaimanapun individu terbabit dikatakan sudah meminta maaf kepada penulis asal karya berkenaan dan dia juga menutup akaun Facebooknya.


Baca Tiada tindakan terhadap Puteri Umno menari gelek


Kata Afdlin, 46, peluang yag ada buat seseorang penghibur perlu dipergunakan dengan sebaik mungkin menggunakan bahan komedi yang asli.

“Mencuri atau memplagiat merupakan salah satu isu berat dalam integriti yang wujud dalam industri tanah air," katanya.

Pengarah Papadom itu juga mengakui sesetengah pelawak baru terpaksa mengikut lawak orang yang lebih berpengalaman untuk kekal relevan.

Namun katanya mereka tidak sepatutnya meniru jenaka tersebut 100 peratus.

“Tapi tak semestinya tiru bulat-bulat sampai tahap plagiat. Bahan dan isi kandungan yang disampaikan kepada penonton kena berdasarkan idea sendiri, barulah ada integriti,” katanya.

Sementara itu, Afdlin menegaskan dunia perfileman juga perlu mempunyai sifat integriti dan jangan membuat sambil lewa atau alar kadar kerana mahu mendapatkan pulangan lumayan dengan cepat dan mudah.

“Di mana kepuasan yang dicari selama bersusah payah menghasilkan karya? Ini tidak, berkarya untuk wang sahaja.

“Saya gunakan medium media sosial untuk beri kesedaran terhadap masyarakat dan penggiat seni mengenai isu integriti,” ujarnya.

Lihat Komen