Cabaran dilalui pasti bukan calang-calang terutama untuk memuaskan peminat di tempat yang tidak pernah menjadi pentas konsert.
Kunjungan kali pertama itu juga biasanya bukan perkara yang boleh dibawa main-main.
Justeru, kehadiran kumpulan indie terkenal The xx buat julung kali ke negara ini selepas ditunggu-tunggu peminat selama bertahun-tahun ternyata sedikit pun tidak menghampakan.
Pengalaman lebih 10 tahun sebagai trio dalam The xx sejak ia ditubuhkan pada 2005 menambah kemahiran Romy Madley Croft (vokal dan gitar), Oliver Sim (vocal, basis) serta Jamie Smith (sampling, elektronik) ketika beraksi di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) baru-baru ini.
“Ini bukan saja kali pertama saya ke Kuala Lumpur, tetapi adalah kali pertama saya ke Malaysia,” kata Sim di hadapan 3,500 peminat ketika konsert I See You Asia itu.
Dengan jumlah hadirin sebanyak itu dan berdasarkan ruang di Mitec, tidak sukar untuk menjangkakan peminat saling berasak-asak untuk maju ke hadapan semata-mata bagi merakam secara langsung aksi idola mereka dengan lebih dekat.
Tepat jam 9 malam tanggal 25 Januari itu, selepas persembahan pembukaan oleh band tempatan Pastel Lite, The xx memulakan ‘bicara’ dengan lagu bercorak instrumental Intro dari album pertama berjudul xx yang diterbitkan pada 2009.
Ia kemudian disusuli dengan lagu popular Crystalised di mana keunikan gabungan vokal Sim diserlahkan dalam struktur muzik Jamie yang menggunakan beberapa efek halus seiring dengan suara halus Romy.
Lagu-lagu The xx biasanya membawa mood dengan lirik yang lebih mengarah kepada cinta, kasih sayang, keinginan dan kehilangan sesuai dengan konsep minimalis yang diketengahkan dengan adunan bunyi seperti indie pop, indie electronic, dream pop dan electro rock.
Konsert dianggarkan berdurasi 90 minit itu menyaksikan sebanyak 18 lagu dipersembahkan termasuk Lips, Dangerous, I Dare You dan On Hold di pentas yang diserikan dengan pencahayaan yang mengagumkan.
Malah kumpulan berkenaan turut memberi laluan kepada Jamie untuk menyerlahkan bakat dengan instrumen dimainkan melalui lagunya Loud Places sebelum ketiga-tiga mereka melabuhkan tirai malam itu dengan Angels.
“Apa yang kami inginkan dari anda semua adalah peluang untuk melupakan perkara yang mengingatkan anda dengan keperitan ketika berada di rumah tetapi menikmati saat istimewa di sini malam ini,” kata Sim lagi.
Dianjurkan oleh Upfront Arena, I See You Tour di Kuala Lumpur itu adalah sebahagian daripada persinggahan konsert jelajah sebelum The xx melanjutkan destinasi mereka ke China (hari ini), Taiwan, Filipina, Jepun dan Korea bulan ini.
Untuk makluman, I See You adalah sebuah album yang menyaksikan kumpulan dianggotai tiga anak muda yang berasal dari Selatan London itu keluar daripada kepompong gaya bunyi moody, dark dan misteri yang biasa dihasilkan.
Walaupun memperdengarkan lagu-lagu daripada album I See You, The xx turut menyampaikan beberapa pilihan terbaik dari album mereka berjudul xx yang terpilih memenangi anugerah Mercury Prize untuk lagu On Hold pada 2010 dan daripada Coexist (album kedua).
Konsert berkenaan juga sebagai langkah promosi album ketiga yang menemui peminat tahun lalu, I See You iaitu selepas Coexist diterbitkan pada 2012.