malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Yusof: Perlu lebih ramai bukan Melayu dalam industri
ADS

Datuk Yusuf Haslam menganggap filem Makrifat Cinta memiliki kekuatan tersendiri dan mampu menarik peminat filem Melayu tempatan, meskipun ia dihasilkan pengarah berketurunan India, Kamal G.

Pendapat itu disuarakan Yusof ketika dia melihat semakin ramai penggiat filem Melayu pada masa ini terdiri daripada kalangan kaum Cina dan India.

“Ramai penggiat terdiri daripada bangsa India dan Cina yang menghasilkan filem Melayu sekarang, entah tidak tahu di mana silapnya.

“Mungkin ada (penerbit dan pengarah Melayu) yang tidak tahan dengan cabaran dalam industri kerana tidak kira betapa bagus kita berjuang pun masih boleh gagal,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di sebalik kehampaan itu, Yusof masih menaruh harapan apabila masih ada individu seperti Kamal G dalam industri seni tempatan.

Kata Yusof, biarpun ini adalah kali pertama Kamal G mengarahkan naskhah dalam bahasa Melayu namun keberanian dan usaha itu wajar dipuji.

Ini kerana menurutnya, penggiat filem Melayu tidak seharusnya terdiri daripada satu-satu kaum saja.

“Perlu berlaku adil kepada semua pihak. Kita memang memerlukan ramai penggiat dalam industri tidak kira orang Melayu, Cina dan India. Dulu di Singapura pengasas filem Melayu juga bukanlah terdiri daripada orang Melayu itu sendiri.

“Hal itu semua tidak menjadi masalah asalkan mereka mampu menghasilkan sebuah karya yang bagus demi membangunkan industri filem kita,” katanya.

Bukan puji kerana anak

Sebagai pemain industri yang masih aktif menerbitkan filem, Yusof berkata dia bukan membuat pujian itu kerana anaknya Yusuf turut terbabit dalam filem berkenaan.

Katanya, penilaian itu diberikan sebagai tanda sokongan buat syarikat baru seperti Dhananwoodd Films Sdn yang gigih cuba menembusi pasaran tempatan yang dipelopori kaum Melayu.

“Daripada pandangan peribadi sebagai orang lama saya anggap filem ini berjaya. Kalau tidak bagus saya akan cakap.

“Kelebihan karya ini diukur dari sudut ia berjaya mengekalkan momentum jalan penceritaan yang bagus dan ternyata ini adalah masalah yang kerap dihadapi oleh filem Melayu,” katanya.

Menurut Yusof pendapat itu turut disokong oleh isterinya, Fatimah Ismail yang selama ini sentiasa menyokong dan menjadi pengkritik setiap filem dihasilkannya.

“Pada awal memang naskhah ini terlalu panjang tetapi saya minta ia dipotong manakala isteri saya pula menumpahkan air mata untuk beberapa babak.

“Selain itu dia juga terkejut kerana tidak menyangka seorang pengarah India boleh hasilkan sebuah filem Melayu yang pada anggapannya cukup menarik,” katanya.

Makrifat Cinta dengan kos perbelanjaan yang menelan kira-kira RM4 juta mengisahkan hubungan cinta dan kekeluargaan itu ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini.

Selain Syamsul, filem yang diinspirasikan dari kisah benar itu turut dijayakan oleh Nabila Huda, Nora Danish, Adi Putra, Datuk Aznil Nawawi dan Sabrina Ali.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen