malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Orang politik jarang menghargai seni. Tetapi orang politik bijak menggunakan golongan yang terlibat dalam seni dan budaya untuk kepentingan politik mereka.

Banyak karya seni yang mengkritik orang politik. Malangnya, orang politik kebanyakannya buta seni terutama penyokong bawahan.

Apabila Shahnon Ahmad menulis novel Shit untuk mengkritik pemimpin negara, berbondong-bondong penyokong pembangkang membeli novel tersebut. Namun mereka tidak mampu membacanya sampai habis. Cepat bosan.

Pengikut parti politik biasanya sekadar mengangguk-angguk rentak yang dimainkan oleh pemimpin mereka.

Salah seorang penyanyi yang sering membawa lagu-lagu kritikan masyarakat ialah M Nasir. Antaranya lagu dalam album bertajuk Saudagar Mimpi. Album itu mengandungi 11 lagu.

Walaupun album itu menggunakan tajuk Saudagar Mimpi tiada lagu yang bertajuk sedemikian. Saudagar Mimpi bukanlah album M Nasir paling popular, tetapi album itu satu pendekatan berani penyanyi terbabit membuka ruang baru kepada orang ramai untuk menerima muzik yang tidak stereotaip.

Album berkenaan membawa mesej ketuhanan, falsafah, logik dan kehidupan yang disampaikan jauh menyimpang daripada tema-tema kebiasaan lagu pada zaman itu yang lebih bercerita mengenai percintaan.

Jangan pilih tongkol kayu

Selain lagu Di Balik Cermin Mimpi yang agak ringan tetapi mendalam, ada sebuah lagu untuk direnungkan maknanya terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14. Lagu itu ditulis oleh Loloq bertajuk Insan Dan Manikam.

Lagu itu tiada kena-mengena tentang politik tapi elok direnung maknanya sambil menikmati nyanyian M Nasir dalam konteks politik secara umum.

BN, Pakatan Harapan (HARAPAN) atau Gagasan Sejahtera - semuanya parti politik yang berpakat mewujudkan suatu keyakinan pada rakyat mengundi mereka sebagai pemerintah.

Sama dan serupa. Inilah yang disebutkan dalam lirik lagu Insan Dan Manikam dalam album Saudagar Mimpi.

Kadangkala dalam pilihan yang ada, pengundi memilih sesuatu yang kelihatan asli dan indah tetapi pada hakikatnya kudis seperti yang dinyatakan dalam salah satu rangkap lagu tersebut:

[...] manikam yang disangkakan
bukan yang asli
hanya seiras dan serupa

Ya insan yang hagas
awaslah semua
maya yang indah
ada kudisnya
jangan terpedaya

Perenggan di atas juga menasihati orang ramai agar jangan terpedaya dengan muslihat yang ada. Peribahasa Melayu ada menyebut, hanya jauhari mengenal manikam.

Batu-batu permata sukar untuk dibezakan melainkan oleh tukang permata (jauhari) sendiri. Dalam makna yang lain, rakyat seharusnya peka dan pakar dalam menilai pilihan yang pelbagai.

Jika memilih pemimpin, pilihlah yang ada nilai seperti batu permata manikam. Pemimpin seperti ini menghargai amanah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Usah dipilih batu sungai atau tongkol kayu sekadar untuk buat tungku menyalai ikan. Sekadar melepaskan tanggungjawab diri sebagai pemilih atau pengundi.

Doktrin seperti angin

Dalam pilihan raya, rakyat memilih pemimpin untuk negara. Jangan dipilih pemimpin yang ‘ada kudisnya’, atau berpenyakit.

Penyakit pemimpin adalah seperti khianat, sombong, zalim dan sebagainya. Atau pemimpin yang berasakan bahawa dirinya sempurna dan pemberi kesenangan serta ketenangan kepada manusia.

Amat malanglah untuk sebuah negara jika para pengundi ramai terpedaya memilih pemimpin yang ‘ada kudisnya’.

Pada perenggan seterusnya, Loloq menyebut:

Angin yang membawa berita
pancaindera yang memang lemah
mudah terkeliru

Segala berita yang keluar daripada pelbagai saluran media, sukar untuk dielakkan. Lebih-lebih lagi dalam kempen politik. Segala doktrin dan dakyah parti-parti politik adalah seperti angin.

Pada perenggan akhir lagu itu menyebut:

Alam yang membawa cerita
pancaindera yang memang lemah
mudah terkeliru

Perenggan ini mengulangi dua ayat pada perenggan sebelumnya. Cuma pada perenggan terdahulu, penulis menyebut "angin yang membawa berita" dan perenggan terakhir ini penulis menyebut "alam yang membawa cerita".

Tentu ada perbezaan antara "angin" dan "alam". Angin adalah perlambangan kepada cerita, berita dan perkhabaran, manakala ‘alam’ adalah satu perlambangan yang sangat luas.

Alam boleh dimaksudkan masyarakat, pemikiran, budaya, kepercayaan, politik, sejarah dan sebagainya. Alam adalah universiti terbuka untuk manusia mengambil iktibar.

Penulis lirik menyebutkan "pancaindera yang memang lemah" segala punca mudah menjadi keliru pada sesuatu. Kiranya seseorang mempunyai pancaindera yang kuat, mereka akan lebih terselamat daripada tipu muslihat.

Mimpi imaginasi, fakta ke tepi

Mereka sepatutnya menggunakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk bersuara, hidung pula untuk menghidu segala kerosakan yang berlaku di negara mereka.

Mereka sepatutnya menggunakan akal fikiran untuk menilai semua ini. Dari situlah barulah keputusan untuk memilih atau mengundi siapa boleh dibuat.

Ketika menulis lirik ini Loloq mungkin berfikiran lain atau mungkin lebih jauh daripada yang difikirkan sebelum ini.

Inilah hebatnya sebuah karya seni yang mempunyai makna yang pelbagai.

Ahli politik itu pula memang ibarat saudagar mimpi. Visi, slogan dan manifesto adalah mimpi ataupun imaginasi yang dizahirkan dalam bentuk bertulis atau ucapan. Mimpi yang meyakinkan.

Mimpi itu mungkin benar terjadi atau sebaliknya. Tidak salah bermimpi dan memberi mimpi pada orang lain. Ini kerana sesuatu yang realiti bermula daripada sesuatu yang diimaginasikan.

Bagi orang Melayu dan sebilangan pemimpin dan penyokong PAS, mimpi BN lebih laku daripada mimpi HARAPAN. Setiap kali orang Melayu dan penyokong PAS bermimpi tentang HARAPAN, pastinya ia suatu mimpi ngeri dan menakutkan.

Politik adalah imaginasi. Fakta tolak tepi. Oleh itu, jika HARAPAN mahu menang dalam pilihan raya nanti, berikanlah mimpi yang indah pada orang Melayu.

Dan mereka percaya sungguh seperti mana mereka percaya bahawa rasuah itu ‘dosa kering’ selagi ia dilakukan oleh orang Melayu!


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen