malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Busker The Movie: Dunia milik anak muda
ADS

ULASAN FILEM | Busker The Movie adalah filem biasa tentang dunia anak muda yang boleh kita tonton di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Misalnya suasana kehidupan di kolej, babak-babak di dewan kuliah dengan pensyarah, watak teman lelaki popular, heroin yang cantik dan bijak, rakan kepada heroin yang akan mengikutinya ke mana-mana, hero cool namun tidak disenangi si teman lelaki popular tadi dan para pengikutnya.

Persekitaran dan watak-watak begini barangkali pernah kita tonton lewat filem Azura, Gila-gila Remaja, Ali Setan, K.L.U. malah mungkin Kolej 56.

Ia sudah jadi seperti template (pencontoh) yang akan digunakan berulang kali dan seakan malapetaka yang sedang kita saksikan dalam drama-drama Melayu saban petang dengan cuma acuannya berbeza, kerana penggiat drama lebih meminati watak lelaki kaya pemilik empayar perniagaan yang jatuh cinta dengan seorang gadis biasa berasal dari kampung.

Jika Busker memakai template serupa seperti filem-filem berkisar anak muda yang lain, maka kenapa ia perlu kita tonton?

Jawapannya ialah: ia dibuat pada zaman ini dan berfikir cara zaman ini. OK, mungkin ada beberapa adegan yang sebaliknya tidak mencerminkan cara berfikir pada tahun 2018. Contohnya sangkaan si hero bahawa kejayaannya layak ke peringkat akhir pertandingan busking adalah kerana dibantu oleh teman wanitanya adalah anak kepada ketua juri.

Amalan “guna kabel” mungkin bersifat rentas zaman tapi rasanya idea ini sudah lapuk, tidak cool atau lemah untuk dipersembahkan anak muda zaman sekarang.

Dan si hero yang biasanya bersifat tenang tiba-tiba memakai sikap orang tua atau anak muda zaman lalu apabila merajuk dengan si heroin hanya berpandukan andaiannya yang salah itu.

Tak payah kerut dahi

Memaafkan kesilapan-kesilapan kecil itu dan bergerak ke depan, dalam Busker kita ditunjukkan dengan Adil (Hafeez Mikail) yang membawa watak anak muda zaman ini yang no nonsense, malas berkira, tidak mahu tergesa-gesa dalam sebarang perkara, sempoi, tapi pada masa sama tidak lupa menjaga penampilan luaran baik dari segi berpakaian dan gaya rambut.

Vera (Daiyan Trisha) pula ialah seorang gadis bijak yang mahukan kesempurnaan dalam setiap perkara termasuk dalam urusan memilih teman lelaki.

Adil - bersama-sama rakan-rakannya, Ucop yang kelakar dan Bulan yang rasional - mempunyai kumpulan muzik bernama Simfoni Dalam Poket. Mereka sering membuat persembahan muzik jalanan di sekitar ibu kota.

Vera pula - setelah teman lelakinya, Daniel berubah sikap menjadi selebriti media sosial - mula rapat dengan Adil setelah dipertemukan lewat insiden berebut tempat letak kereta di kolej.

Busker adalah filem easy-going yang tidak memerlukan kamu berkerut dahi untuk memikirkan jalan ceritanya yang bergerak berjajar.

Ia filem yang cantik - baik dari segi rupa paras pelakon-pelakonnya, garapan lagu-lagu yang sedap didengar, pemandangan tempat-tempat menarik, dan pencahayaan yang cukup.

Filem ini harus diangkat oleh kerajaan Johor dalam pelan pelancongan mereka atau sekurang-kurangnya oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana cukup banyak mempromosikan jenama dan tempat makan sekitar Johor Bahru.

Guna Kancil saja

Antara yang dimasukkan ialah Kilang Bateri, jenama JOHO, taman hiburan Danga Bay, kacang pool Jalan Stesyen, otak-otak Kempas, mi Jawa dan beberapa kafe di sana.

Cuma mujurlah tiada promosi berlebihan dibuat terhadap JDT.

Mujur yang seterusnya adalah apabila Busker tidak mengambil pelakon-pelakon popular masa ini, sebaliknya mempertaruhkan dua pelakon muda - iaitu Hafeez dan Daiyan - sebagai pasangan hero heroin.

Kedua-duanya memainkan peranan mereka dengan baik dalam filem arahan Syed Khairul Fariz ini.

Mujur yang lain ialah watak-watak yang ada tidak dipaparkan sebagai anak Datuk atau Tan Sri dengan berkereta mewah ke kampus sebaliknya hanya menggunakan kereta nasional yang biasa dipandu rakyat biasa, Kancil.

Ada satu babak yang paling dapat diingati apabila bekas kekasih Adil, iaitu Mel (Elizabeth Tan). selepas putus dengan kekasih barunya, Meor, dia mahu rujuk semula dengan Adil.

Babak itu dibuat di atas sebuah bangunan lama yang penuh contengan graffiti. Adil tidak memberi jawapan kepada permintaan Mel tapi tulisan graffiti di tembok berhampiran mereka tertulis “Life is so untrue”.

Seterusnya babak-babak melibatkan Adil dan Vera yang memang “sepatutnya” ada dalam mana-mana kisah cinta, dipaparkan secukup rasa dalam filem ini.

Ia dapat dicerap lewat tugasan berkumpulan mereka berlatarbelakangkan susunan jerami menyerupai jari-jemari yang membuat bentuk hati, gurau-senda di warung makan sementara menunggu hidangan yang lambat tiba, sesi menceritakan pengalaman cinta masing-masing sambil bermain kuda carousel di taman hiburan lewat malam, berpimpin tangan sewaktu lari dariapada dikejar pengawal keselamatan MBJB, seterusnya bermain mata sewaktu Adil dan kumpulannya sedang membuat persembahan akhir dalam pertandingan busking mereka.

Elemen-elemen filem remaja; cinta, lagu, kumpulan muzik, rakan-rakan seperjuangan, penamat bahagia, semuanya diramu cukup mesra dalam Busker. Maka, nikmat apakah lagi yang para anak muda kita mahu dustakan?


HAIZIR OTHMAN anak kelahiran Melaka yang meminati seni, sastera dan falsafah biasan sederhana. Dia juga pemenang Anugerah Sastera Selangorkini 2017 bagi kategori esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen