malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hamil tak halang Elaine Daly galas kewajipan
ADS

WAWANCARA | Berkaliber dan berkredibiliti tinggi, itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada Elaine Daly yang memegang jawatan sebagai pengarah kebangsaan Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) buat kali kedua berturut–turut.

Pastinya menjadi kewajipan beliau untuk menggalas tanggungjawab besar ini untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dengan lebih gah dan persiapan rapi.

Wanita kacukan Serani dan Cina ini berkata, sememangnya satu cabaran yang besar memikul tanggungjawab sebagai pengarah selama dua tahun.

Namun, ia juga memberikan kepuasan secara peribadi, kata Elaine kepada Malaysiakini.

Elaine yang kini berbadan dua tersebut ketika ditemui meluahkan pendapat beliau mengenai usaha yang dilakukan oleh organisasi Miss Universe Malaysia dalam memilih, mengasah bakat, perwatakan, dan upaya peserta dari segi mental dan fizikal.

Kekuatan tersendiri

Semasa beliau baru sahaja melahirkan anak pertama dua tahun lalu, Elaine dilantik sebagai pengarah MUMO menggantikan Carey Ng pada tahun 2016.

"Apa yang kami cuba lakukan di sini merupakan satu usaha yang sangat baik kerana peserta kami telah diberikan ruang dan peluang.

"Peluang ini mungkin sekali seumur hidup bagi merealisasikan impian mereka dan secara tidak langsung mampu mengubah pelbagai aspek dalam kehidupan mereka,” katanya.

Tambah Elaine, peserta melalui perubahan dan perkembangan sejak empat bulan yang lalu terutama dari segi hubungan mereka dan keluarga, selain hubungan dengan rakan rakan.

Menyaksikan perkembangan itu, bagi Elaine, merupakan sesuatu yang amat memuaskan.

Elaine menambah beliau tidak merasakan ia sebagai bebanan tugas. Ini kerana beliau menyayangi industri dan kerjayanya yang antara lain bertujuan mengubah dan memperkasakan kehidupan wanita.

Menyentuh mengenai para finalis, beliau berbangga dengan mereka kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri yang boleh membantu mereka mencapai kejayaan sekiranya konsisten dan bekerja keras. 

Kostum 'Nasi Lemak'

Elaine turut bercerita berkenaan Samantha James yang memperagakan pakaian bagi kategori 'kostum kebangsaan' dengan rekaan nasi lemak yang mendapat bualan ramai di laman media sosial.

Rata-rata komen yang terkejut dengan rekaan unik tersebut tidak sekali pun memburukkan nama Malaysia. Menurut Elaine juga, rekaan itu mendapat sambutan baik dan menjadi tular di seluruh dunia.

“Sememangnya pihak MUMO sangat menggemari pakaian tradisional dan kontemporari yang sedia ada di negara ini.

"Namun begitu, dalam mengejar keunikan dan ciri ciri istimewa yang hanya mampu dipersonifikasi dalam pakaian, kami juga perlu mengambil kira ciri-ciri lain seperti keselesaan peserta yang memakai pakaian ini dan juga reka bentuk serta peralatan yang sesuai untuk dipadankan dengan busana ini supaya tidak kelihatan terlalu berserabut atau merimaskan mata yang memandang" katanya.

Elaine juga menambah bahawa pada tahun ini beliau akan membuka peluang buat para pereka kostum, dan pereka baju untuk menghantar cadangan rekaan mereka bagi menaikkan lagi taraf kedudukan Miss Universe Malaysia.

"Kami berharap kemenangan akan berpihak kepada kami pada kali ini," katanya.

Lihat Komen