malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Asfan mahu teroka bidang lakonan
ADS

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Alasan Untuk Bahagia, Asfan Shah berhasrat melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan pada pertengahan tahun ini dan kini dalam proses meningkatkan kemampuannya berlakon.

Katanya walaupun telah menerima beberapa tawaran untuk berlakon, beliau terpaksa menolak kerana merasakan dirinya belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Penyanyi dan pencipta lagu berusia 33 tahun tersebut juga berkata beliau bersedia mengurangkan aktiviti muziknya sekiranya keadaan memerlukan demi meneroka bidang lakonan.

"Saya sudah mula mencari kelas lakonan yang sesuai dengan saya antaranya kelas lakonan bersama Fauziah Ahmad Daud dan juga Fauziah Nawi. Saya tidak mahu nanti kalau saya tidak bersedia, takut berhenti separuh jalan.

"Saya jangkakan dalam pertengahan tahun ini saya akan mula menerima tawaran untuk berlakon dan akan turut menghantar profil saya ke syarikat produksi," katanya kepada Bernama selepas membuat persembahan dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini.

Asfan Shah berkata walaupun beliau pernah berlakon dalam sebuah telemovie terbitan Astro pada 2012, beliau masih belum bersedia untuk meneruskan kariernya dalam bidang lakonan pada masa itu.

"Masa itu saya berlakon dengan Hanis Zalikha. Tapi masa itu saya rasa set lakonan itu bukan tempat saya, memang saya tidak berminat tetapi bila lama saya mula kenal orang dan tahun ini saya rasa saya sudah bersedia, dan berminat untuk berlakon,” katanya.

Asfan Shah yang mula aktif dalam bidang seni pada 2012, berkata beliau berminat untuk mencuba drama berbentuk romantik komedi atau bertemakan cinta di samping berminat untuk digandingkan dengan pelakon-pelakon seperti Beto Kusyairy, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Izara Aishah, Lisa Surihani dan Neelofa.

"Saya sasarkan drama dan watak yang ringan dahulu dan saya tahu bukan mudah (untuk berlakon) tapi saya akan cuba yang terbaik. Saya dalam usaha untuk menaikkan berat badan saya supaya nampak sesuai untuk membawa watak seperti seorang kekasih ataupun suami," katanya yang menjadikan Datuk Aaron Aziz sebagai idolanya dalam bidang lakonan.

Mengulas mengenai persiapan album baharunya, Asfan Shah berkata album tersebut akan dikeluarkan pada Mac ini dengan menampilkan 10 buah lagu termasuk lagu lama Terhenti Di Sini dan lagu baharu Sumpah Cintaku dan Cinta Jangan Pergi.

“Saya juga dalam persiapan untuk mengadakan persembahan showcase pertama saya yang akan dibuat sekali dengan pelancaran album itu nanti. Sekarang ini saya juga sibuk menulis lagu untuk artis lain dan saya sendiri," katanya.

-Bernama

Lihat Komen