malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Memang sah Radiohead saman Lana Del Rey
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 3:10 PM
Dikemaskini: 7:41 AM
ADS

Kumpulan muzik yang popular sekitar awal 1990-an Radiohead sebelum ini menafikan dakwaan bahawa mereka memfailkan saman ke atas penyanyi Lana Del Rey.

Saman Radiohead itu dikemukakan di mahkamah kerana mendakwa lagu Lana, Get Free, mempunyai persamaan dengan karya mereka yang berjudul Creep.

Selepas pelbagai spekulasi mengenai tuntutan terbabit tersebar, baru ini Lana - atau nama sebenarnya Elizabeth Woolridge Grant - membuka mulut.

"Tuntutan mahkamah itu memang betul.

"Walaupun saya tahu lagu berkenaan bukan diilhamkan daripada Creep, Radiohead tetap berasakan ia memang begitu. Dan mereka mahu 100 peratus daripada kutipan penerbitan lagu itu.

"Saya menawarkan sehingga lebih 40 peratus royalti kepada Radiohead sejak beberapa bulan lalu namun peguam mereka tidak berputus asa dalam hal ini.

"Justeru kami akan menyelesaikan isu ini di mahkamah," katanya seperti dilapor The Guardian.

Lana, 32, terkenal kerana menggunakan rujukan budaya pop era 1950-an dan 1960-an dalam lagu-lagunya.

Elak timbul kontroversi

Antara lagu pernah dipopularkan Lana ialah Summertime Sadness, Video Games dan Pretty When You Cry.

Radiohead pula ditubuhkan pada 1985 dan dianggotai lima pemuda berasal dari Abingdon, Oxfordshire.

Mereka ialah Tom Yorke sebagai vokalis, Ed O'Brien (gitar), Phil Selway (dram), Johnny Greenwood (gitar utama) dan Colin Greenwood (bes).

Lebih 30 juta unit albul Radiohead terjual di seluruh dunia menjelang 2011. Karya mereka sering berada dalam kedudukan tinggi carta pendengar dan senarai pengkritik.

Sementara itu, wakil penerbit Radiohead, Warner/Chappel Music mengaku mereka membincangkan hal berkenaan bersama Lana sejak Ogos 2017.

"Adalah jelas rangkap dalam Get Free menggunakan elemen Creep dan kami memohon ini dimaklumkan kepada semua penulis Creep.

"Tetapi mereka berkata tiada tuntutan mahkamah difailkan, malah Radiohead tidak menuntut 100 peratus hak penerbitan seperti yang didakwa oleh Lana," katanya.

Lana cuba mengelak wujud konfrontasi undang-undang pada konsert di Denver awal minggu ini dengan berkata Get Free adalah "manifestasi peribadinya."

"Saya akan berjuang untuk sentimen yang saya tulis itu sekalipun lagu itu bukan untuk disiarkan rekodnya secara fizikal," katanya.

Lihat Komen