Erra minta doa semua dalam cintanya


(Dikemaskini )

Sedar terhadap keprihatinan pelbagai pihak kepada dirinya, tidak ada apa yang dapat dibuat Erra Fazira selain menghargai sikap itu sepenuh hati sambil berdoa agar diberi yang terbaik dalam hidupnya.

Salah satu keinginan peminat serta orang yang mengasihinya ialah melihat dia kembali berumahtangga.

Lebih daripada itu mereka mahu orang yang mendampinginya adalah lelaki yang benar-benar sepadan.

Enggan mengeruhkan keadaan, Erra berkata dia menganggap perhatian mereka itu berniat ikhlas, seperti kasih ibu bapa terhadap anak-anak.

"Apa yang saya minta ialah doakan yang terbaik buat saya kerana kita tidak tahu bagaimana penghujung sesuatu hubungan.

"Mungkin akhirnya apa yang mendatang itu adalah lebih baik daripada yang dijangka oleh semua orang," katanya.

Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Check, 44, ditemui pada sidang pengumuman khas di Petaling Kaya sebentar tadi.

Nama pelakon filem Sembilu itu menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini apabila sering dikaitkan dengan penyanyi Shahir Zawawi, 29.

Erra mengikat tali perkahwinan dengan penyanyi dan pelakon, Yusri KRU pada 2003, sebelum rumahtangga mereka berakhir tiga tahun selepas itu.

Dia sekali lagi menjadi isteri orang apabila bernikah dengan Engku Emran. Namun rezeki mereka untuk bersama hanya bertahan tujuh tahun.

Tak mahu berbohong

Terkini Erra yang mendapat jolokan primadona itu diramal beberapa kali oleh media bakal menamatkan status bujangnya dengan Shahir.

Bagaimanapun, hingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara itu malah mereka menegaskan hubungan yang terjalin tidak lebih sekadar berkawan.

"Saya boleh jawab perkara sama setiap kali ditanya. Saya tidak mahu menipu dengan bercakap lain di belakang dan lain di depan.

"Sesuatu tarikh yang disebut-sebut tentang kami pun bukan dari mulut saya," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu turut menegaskan penyebab utama beralih arah pihak pengurusan bukan kerana Shahir.

Erra berkata, sepanjang 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni selama itulah juga dia tidak pernah terpalit sebarang masalah di tempat kerja.

Katanya, 2018 dianggap sebagai tahun untuknya menimba pengalaman di persekitaran baru.

"Apa kena-mengena saya dengan Shahir? Apa saja hal berkaitan karier tidak membabitkan dia sepanjang kira-kira 25 tahun berkecimpung dalam industri.

"Sudah sampai masanya untuk saya mengorak langkah," katanya.

Erra kini secara rasmi bernaung di bawah syarikat MindOrder Management.

Erra menandatangani kontrak pengurusan bersama syarikat berkenaan bermula awal Januari untuk tempoh dua tahun.