malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem Chong Wei bakal tempa sejarah Asia Tenggara
ADS

Filem biografi mengenai kisah hidup Datuk Lee Chong Wei dijangka mencatat rekod antarabangsa dengan tontonan seramai 30,000 orang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tayangan galanya 9 Mac nanti.

Penerbit bersama filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend itu, Josiah Chieng berkata, pihaknya berharap jumlah tontotan bukan saja mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records malah melakar sejarah di Asia Tenggara.

Untuk itu, persediaan rapi dilakukan antaranya memasang sebuah skrin LED gergasi di stadium berkenaan.

“Pada awal kami memang tidak menjangkakan untuk melakar sejarah dengan kehadiran peminat yang begitu ramai, tetapi sudah alang-alang mencari lokasi yang besar baru timbul idea itu.

“Setakat ini dalam perancangan, kami akan memasang sebuah skrin LED setinggi 17 kaki di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti.

"Hasrat kami memang ingin memasang skrin yang lebih tinggi, tetapi ia perlu melepasi standard keselamatan terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.

Josiah berkata dia positif untuk mencapai sasaran berkenaan kerana satu per lima tiket yang diperuntukkan pada malam itu sudah ditempah oleh peminat dari China.

“Kami yakin ramai peminat akan hadir pada malam gala itu kerana ia akan dihangatkan dengan dengan kehadiran Chong Wei, jaguh badminton negara kita yang dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Menurut Cheng, pihaknya sengaja menyasarkan penonton luar khususnya China kerana mahu mengukuhkan hubungan kerjasama yang terjalin di kalangan rakyat kedua-dua negara.

“Ia sekaligus mengekalkan hubungan mesra antara Malaysia - China dalam industri hiburan memandangkan negara jiran itu mempunyai pertumbuhan filem yang pesat,” katanya.

Filem berkisah pemain sukan badminton yang berasal dari Pulau Pinang itu dijadual menjengah pawagam tempatan pada 15 Mac ini.

Ia menceritakan bagaimana Chong Wei melalui segala pahit getir hidupnya sebelum menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Diarahkan oleh Teng Bee - pengarah yang pernah menghasilkan filem Kepong Gangster dan Kepong Gangster 2 - naskhah itu mengambil tempoh tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Melalui hasil uji bakat diadakan awal tahun ini ke atas lebih daripada 2,000 calon termasuk dari Taiwan, watak Chong Wei bakal dijiwai pendatang baru, Tosh Chan.

Filem terbitan CB Pictures Sdn Bhd dan Mahu Pictures itu dijangka lebih menarik dengan penampilan khas Datuk Rosyam Nor sebagai bekas dan jurulatih pemain badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Selain itu, filem tersebut turut dijayakan pelakon seperti Freddie Wong, Ashley Hua, Uriah See, Bernard Hiew and Datuk Norman Pang.

Lihat Komen