malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kalau Trump boleh, mengapa tidak Oprah?
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 3:01 PM
Dikemaskini: 7:09 AM
ADS

Pengacara Oprah Winfrey mendapat sokongan ramai untuk bertanding sebagai calon Presiden AS pada 2020 selepas memberi ucapan luar biasa di acara berprestij Anugerah Golden Globe ke-75 malam semalam.

Rata-rata penonton kagum dengan ucapan tokoh siri program bual bicara yang berpengaruh itu kerana memberi dorongan kepada wanita agar tampil mendedahkan sebarang pelecehan seksual di Hollywood sewaktu wanita itu menerima anugerah Cecil B Demille.

Anugerah itu diberikan kepada Oprah bagi menghargai pembabitannya dalam dunia hiburan.

Memetik laporan CNN, dua teman rapat Oprah yang enggan dikenali mendedahkan wanita itu berfikir secara serius untuk mencalonkan dirinya sebagai presiden AS.

Mungkin terdapat segelintir pihak yang rapat dengan Oprah menggesa wanita itu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Tidak seperti amalan pilihan raya umum di Malaysia, AS mengamalkan sistem dua parti - Demokrat dan Republikan.

Seseorang yang ingin menjadi presiden perlu terlebih dulu mendapat sokongan majoriti daripada perwakilan parti sebelum akhirnya dipertemukan di peringkat akhir.

Pernah bersama Obama

Oprah dijangka menawarkan diri melalui parti Demokrat dan pemilihan rasmi tidak akan bermula sehinggalah pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, ketika ini ada banyak calon berpotensi yang sudah mula berebut-rebut untuk menonjolkan diri masing-masing.

Seorang daripada sumber menyatakan, perbincangan mengenai pencalonan Oprah sebagai presiden bermula sejak beberapa bulan lalu.

Pun begitu, Oprah masih belum memberikan sebarang kata putus.

Ditemui selepas majlis anugerah Golden Globe itu, kekasih Oprah, Stedman Graham berkata memang ada “kemungkinan” Oprah akan mencalonkan diri.

“Terpulang kepada umum. Dia tentu akan melakukannya,” kata Graham.

Oprah pernah berkempen untuk Barack Obama pada 2008 dan menyokong Hillary Clinton pada 2016.

Sewaktu berkempen untuk Hillary, Oprah berbincang mengenai prospek wanita menjadi calon presiden.

“Amerika, inilah masanya untuk kita membuat keputusan itu,” katanya.

Roket sudah dilancarkan

Nama Oprah dikenali meluas selepas berdekad-dekad mendedikasikan dirinya dalam rancangan buah bicara The Oprah Winfrey Show.

Cuma Oprah mempunyai satu kekurangan, iaitu pengalaman dalam politik.

Namun, dalam satu wawancara untuk Bloomberg pada Mac lalu, seorang tokoh berpengaruh AS, David Rubeinstein berkata sebaliknya.

“Memang jelas anda tidak memerlukan pengalaman bekerja dengan kerajaan untuk dipilih menjadi presiden AS,” katanya.

Dan Oprah menjawab, hal sama pernah terlintas dalam fikirannya selepas Donald Trump berjaya menjadi presiden ke-45 AS pada awal Jan tahun lalu.

"Alamak, saya fikir saya tiada pengalaman, saya tidak tahu banyak perkara. Tetapi sekarang saya mula memikirkan mengenainya. Oh...” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh penonton.

Trump bukanlah ahli polik dalam AS sebaliknya mencipta nama sebagai hartawan melalui penguasaan perniagaan dan hartanah.

Dia juga dikenali sebagai tokoh yang ekstrem, antiimigran serta melaksanakan banyak dasar tidak disenangi dunia.

Untuk menjadi presiden, Trump, 71, mengetepikan calon Demokrat, Hillary, yang juga bekas wanita pertama AS.

Bagaimanapun mengenai masa depan Oprah, buat masa ini kenyataan itu masih dianggap sekadar cakap-cakap biasa. Malah wakil Oprah belum memberikan sebarang komen.

Pada masa sama peminat Oprah mula menunjukkan tanda sokongan di media sosial.

Peminat juga menyifatkan Oprah sebagai calon sesuai untuk menggantikan Trump - sekiranya beliau benar-benar rela untuk bertanding.

Video dan transkip ucapan Oprah dikongsi secara meluas di media sosial sejak malam semalam.

Malah Washington Post turut memetik aktres Meryl Streep sebagai berkata Oprah “telah melancarkan roket” dengan ucapannya.

“Saya ingin dia bertanding untuk presiden. Saya tidak fikir dia mempunyai niat untuk mengumumkan perkara itu. Tetapi sekarang dia tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.

Lihat Komen