malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasib mangsa serangan seksual bergema di Golden Globe
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 2:40 PM
Dikemaskini: Jan 9, 2018 4:22 AM
ADS

Oprah Winfrey menjadi wanita kulit hitam pertama menerima Anugerah Cecil B Demille sebagai menghargai pembabitannya dalam dunia hiburan pada acara Anugerah Golden Globe ke-75 yang baru saja berakhir sebentar tadi.

Ketika nama Oprah diumum sebagai pemenang, pengacara dan pelakon terbabit tampil memberi ucapan mengenai keperluan wanita berani mendedahkan tentang pelecehan seksual di Hollywood.

Golden Globe kali ini menjadi acara berprestij pertama di Hollywood menyatakan “tanda sokongan” ke atas mangsa gangguan seksual khususnya, golongan wanita dalam industri hiburan.

Sebagai tanda sokongan dan kesepakatan untuk mengecam perbuatan terkutuk itu, acara karpet merah dibanjiri dengan selebriti yang mengenakan pakaian berwarna serba hitam.

Solidariti itu juga sebagai menyokong misi kumpulan antiseksual Time’s Up yang aktif berkempen mengekang gangguan seksual. Ia baru diasaskan sebagai reaksi kepada siri keganasan seksual penerbit terkenal, Harvey Weinstein.

Dalam ucapannya, Oprah menegaskan gangguan seksual melampaui mana-mana sempadan budaya, geografi, bangsa, agama, politik dan persekitaran kerja.

“Malam ini saya mahu menunjukkan penghargaan buat semua wanita yang menanggung penderitaan dan penderaan selama bertahun-tahun kerana mereka ibarat ibu saya.

“Mempunyai anak dan terpaksa membayar bil di samping mengejar impian, mereka adalah wanita yang namanya kita tidak akan ketahui,” katanya seperti dilapor CNN.

Menurut Oprah, dia mendapat inspirasi daripada semua wanita terbabit dan diberikan keberanian untuk bersuara serta berkongsi kisah peribadi mereka.

Dalam ucapannya itu, Oprah turut menekankan kisah Recy Taylor, seorang wanita berkulit hitam yang diperkosa oleh enam lelaki pada 1944 tetapi tiada sesiapa disabitkan dengan sebarang tuduhan.

Recy meninggal dunia ketika usianya mencecah 97 tahun.

Pernah jadi mangsa

“Selama bertahun-tahun suara wanita tidak didengari atau dipercayai jika mereka berani bersuara mengenai kebenaran, tetapi kini waktu seperti itu sudah berakhir,” katanya.

Anugarah Cecil B Demille diberikan kepada individu berbakat yang memberikan impak luar biasa dalam dunia hiburan.

Oprah diumumkan sebagai penerima anugerah itu Disember tahun lalu.

“Saya mahu semua wanita yang menonton acara ini untuk mengetahui terdapat sinar baru di kaki ufuk.

“Dan menjelang hari baru, ini berlaku disebabkan begitu ramai wanita hebat dan kebanyakan mereka ramai berada di sini malam ini serta beberapa lelaki luar biasa yang gigih memastikan mereka menjadi pemimpin dan membawa kita ke era tiada siapa lagi perlu berkata #MeToo,” katanya.

Untuk rekod Oprah sendiri bukanlah asing kepada serangan seksual. Sebelum ini hos rancangan bual bicara berpengaruh itu mendedahkan dia pernah menjadi mangsa serangan seksual, termasuk diperkosa ketika baru berusia sembilan tahun.

Kempen #MeToo muncul sebagai suara mangsa serangan seksual ekoran pendedahan ramai selebriti yang tunduk secara terpaksa kepada Weinstein.

Reuters pula melaporkan lelaki juga pernah menjadi serangan seksual dan mengaitkannya dengan pelakon yang pernah memenangi anugerah Academy, Kevin Spacey.

Manakala lebih daripada 70 wanita membuat tuduhan ke atas penerbit filem Harvey Weinstein.

Selain itu, Dustin Hoffman, pelawak Louis CK dan Jefreyy Tambor antara puluhan selebriti, ahli politik dan ahli perniagaan yang dituduh melakukan kesalahan seksual.

Bagaimanapun, semua tuduhan itu tidak dapat disahkan. Weinstein menafikan semua aksi seks dengan sesiapa pun berlaku secara paksaan, manakala Spacey meminta maaf terhadap seorang daripada mangsanya.

Tetapi pada masa sama watak Spacey dalam filem All The Money in the World “dipadam” penerbit dan digantikan dengan Christopher Plummer.

Spacey juga dikecualikan daripada rancangan bersiri TV, House Of Cards.

Sementara itu, kemeriahan Anugerah Golden Globe tetap terasa dengan satu demi satu pengumuman dibuat.

Berikut adalah senarai pemenang kali ini:

Filem terbaik (drama)
Three Billboards Outside Ebbing, Missouri

Filem terbaik (muzikal atau komedi)
Lady Bird

Aktres terbaik (drama filem)
Frances McDormand, Three Billboards Outside Ebbing, Missouri

Aktor terbaik (drama filem)
Gary Oldman, Darkest Hour

Aktres terbaik (filem muzikal atau komedi)
Saoirse Ronan, Lady Bird

Pengarah terbaik
Guillermo del Toro, The Shape of Water

Aktor terbaik (filem muzikal atau komedi)
James Franco, The Disaster Artist

Lihat Komen