malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Istikharah tentukan Aishah jadi calon atau tidak
ADS

Penyanyi terkenal yang baru saja muncul juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah berkata beliau belum pasti sama ada bersedia untuk bertanding sekali lagi dalam pilihan raya umum (PRU).

"Insya-Allah, saya ada pengalaman menjadi calon. Tapi bagi saya kena istikharah (dulu), dan kali ini saya kena betul-betul istikharah," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) di Shah Alam, hari ini.

Pada PRU ke-13, beliau yang ketika itu masih bersama PAS bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jempol menentang Tan Sri Isa Samad dan tewas dengan perbezaan 8,614 undi.

Setakat ini, katanya lagi, beliau yang kini anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) belum mendapat apa-apa makluman berhubung perkara itu daripada kepimpinan parti.

"Saya belum terima apa-apa keputusan...Itu semua soalan hipotetikal (bersifat andaian). Jika diberi peluang nanti baru saya putuskan," katanya lagi.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aisah Wan Ariffin meredakan sekejap kehangatan sidang hari ini dengan menyanyikan lagu patriorik "Bahtera Merdeka".

Ketika gilirannya berucap di slot Pentas Rakyat sebelum itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin kelihatan agak keberatan untuk berucap panjang dan sebaliknya lebih senang melakukan apa yang menjadi kepakarannya - menyanyi.

Justeru, kehangatan sidang reda seketika apabila beliau mendendangkan Bahtera Merdeka, sesuai dengan semangat HARAPAN.

Malah beliau turut mengajak para hadirin untuk menyanyikan lagu patriotik itu bersama-sama dengannya.

Usai nyanyian, beliau menggesa agar lebih amai artis tampil bersuara untuk rakyat.

“Saya menyeru kepada artis supaya jangan takut bersuara. Setiap keputusan politik akan memberi kesan kepada hidup kita.

“Kita semua akan berasa kesan daripada setiap keputusan politik,” kata penyanyi berusia 52 tahun itu.

Beliau juga berharap semua pihak menghormati pandangan artis yang menyuarakan soal bebanan ekonomi ditanggung majoriti rakyat, bukannya mengencam mereka kerana berbeza dalam politik.

Bila menang, jangan lupa

“Kita patut menghormati pandangan artis yang bercakap soal kos sara hidup.

“Mereka masih prihatin terhadap kehidupan orang lain.

“Kami bersuara bukan membenci tapi mencintai tanah air ini dan ingin melihat hasil negara dinikmati secara adil oleh semua rakyat,” katanya.

Anggota Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) itu juga menyeru agar golongan artis tetap diberi perhatian jika HARAPAN berjaya ke Putrajaya.

“Saya mendoakan apabila HARAPAN memerintah nanti, janganlah masa kempen saja ajak artis tapi apabila memerintah, ada bajet, lupa kami,” luahnya.

Beliau juga berharap artis dapat berkarya secara bebas tanpa diskriminasi.

Lihat Komen