malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
SO7 datang lagi hiburkan peminat setia
ADS

Berdepan dengan kecenderungan peminat muzik yang lebih suka kepada konsert percuma, penganjur konsert Shiraz Projects Sdn Bhd membuat kaji selidik untuk menentukan siapakah artis seberang yang sesuai dibawa ke Malaysia.

Hasil kaji selidik itu akhirnya menunjukkan kumpulan Sheila On 7 (SO7) adalah artis boleh menarik ramai penonton.

Maka pada 10 Februari depan, kumpulan itu bakal menghiburkan ribuan peminatnya dalam konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018.

Menurut Penerbit Eksekutif, Shirazdeem Karin, pihaknya mengedarkan borang tinjauan kepada kira-kira 100 peserta yang berada di sekitar Lembah Klang pada September lalu.

ADS

"Kami menggunakan dua kaedah tinjauan iaitu sama ada melalui borang dan email yang diedarkan kepada peminat.

"Sebagai penganjur, memang amat berisiko untuk mengadakan konsert di Malaysia, semua orang seboleh-bolehnya mahukan tiket percuma.

"Kami tidak mahu ambil risiko itu dan pasti mahukan pulangan yang berbaloi," katanya kepada Malaysiakini.

Shirazdeem ditemui pada sidang media pengumuman konsert SO7 di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir dua anggota SO7 iaitu Eross Candra (gitaris) dan Adam Muhammad Subarkah (basis).

Bagaimanapun vokalis Duta dan Brian (dram) tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen lain.

Film Favorit

Shirazdeem menjanjikan pihaknya dapat memberi persembahan hebat dengan menitikberatkan kepada sistem bunyi pada konsert itu nanti.

"Kami menganggarkan seramai 5,000 penonton dapat hadir. Tanpa penataan bunyi yang bagus jika artis hebat macam mana pun mereka tidak boleh membuat persembahan," katanya.

Sementara itu, menurut Eross, peminat di negara ini amat bertuah kerana berpeluang menjadi yang pertama akan mendengar single mereka, Film Favorit selepas kali terakhir menerbitkan album penuh empat tahun lalu.

"Kami menganggap lagu itu cukup bermakna kerana liriknya menyeru peminat untuk bersikap positif.

ADS

"Zaman sekarang begitu ramai remaja yang tidak mempunyai jiwa kental dan cepat mengalah.

"Justeru, dengan ada lagu seperti ini kami berharap remaja akan terus mencuba dan bukan mengalah tanpa berusaha," katanya.

Konsert yang dijangka berdurasi dua setengah jam itu akan memperdengarkan kira-kira 20 buah lagu antaranya Sephia, Pria Kesepian, Melompat Lebih Tinggi dan Seberapa Pantas.

Kaunter penjualan yang dibuka mulai 21 Disember tahun lalu menyaksikan sebanyak 2,000 laris sudah dijual bagi kategori Silver dan Early Bird.

SO7 dijadual kembali menghiburkan peminat dengan konsert mereka di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur selepas kali terakhir berbuat demikian pada Mac, dua tahun lalu.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen