malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lorde dikecam Yahudi kerana batal konsert di Israel
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 3:18 PM
Dikemaskini: 9:40 AM
ADS

Tindakan Lorde membatalkan konsertnya di Israel dibalas dengan iklan semuka khusus untuk mengecamnya, di akhbar berpengaruh Amerika Syarikat, The Washington Post,

Ia selepas penyanyi berusia 21 tahun itu membatalkan konsertnya di Tel Aviv yang sepatutnya diadakan Jun ini, selepas didesak gerakan pro-Palestin, iaitu Boycott, Divestment, Sanctions (BDSM).

Iklan yang disiarkan 31 Disember lalu itu dibeli oleh seorang rabbi Yahudi, Shmuley Boteach, daripada gerakan This World: The Values Network, menurut laporan the Guardian, semalam.

Dalam iklan itu, Lorde dikecam kerana menyertai "boikot antisemitik antarabangsa terhadap Israel" namun masih membuat persembahan di Russia, walaupun negara itu didakwa terlibat dalam perang saudara di Syria.

Ia memaparkan wajah penyanyi itu yang diubahsuai dan berlatarbelakangkan sekumpulan lelaki berlari melepasi bangunan runtuh sambil mendukung bayi, dengan tajuk utama: “Lorde dan New Zealand mengabaikan Syria demi menyerang Israel".

Pada bulan lalu, BDSM menulis surat terbuka kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu Royals itu, yang mengatakan persembahan di Israel adalah tanda sokongan terhadap penjajahan rejim Zionis ke atas Palestin.

“Saya mengadakan perbincangan dengan ramai orang yang mempunyai pandangan berbeza dan saya anggap keputusan terbaik adalah membatalkan konsert itu.

Saya berbangga kerana menjadi generasi muda yang mempunyai banyak maklumat. Saya juga banyak membaca dan menerima begitu banyak pendapat sebelum bersetuju untuk mengadakan persembahan di Tel Aviv.

"Bagaimanapun saya sedikit pun tidak bangga untuk mengakui bahawa saya telah membuat keputusan yang salah," kata penyanyi berasal dari New Zealand itu lagi.

Bantahan New Zealand di PBB

Iklan Boteach turut mendakwa tindakan Lorde itu menandakan prasangka terhadap kaum Yahudi semakin meningkat sehingga turut merangkumi golongan muda sepertinya.

Ia turut membangkitkan keputusan New Zealand bersama-sama 127 negara lain menyokong usul Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Washington membatalkan pengiktirafan Tel Aviv menjadi ibu negara Israel pada 22 Disember lalu.

Mensasarkan New Zealand secara khusus, ia turut mengkritik negara itu kerana menjadi penaja bersama satu resolusi PBB tahun lalu yang mengutuk petempatan Israel di wilayah Palestin.

Tindakan itu mencetuskan pertikaian diplomatik Wellington dengan Tel Aviv selama enam bulan.

Boteach dikenali sebagai seorang yang suka membuat dakwaan kontroversi seperti tuduhan sebagai antisemitik terhadap pihak yang tidak bersetuju dengan Israel.

Lihat Komen