malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jumanji: Selagi nostalgia boleh dijual
ADS

ULASAN l Nostalgia adalah senjata yang sering digunakan sepanjang zaman, termasuklah pada zaman ini. Semuanya berpunca daripada orang dewasa yang enggan bebas dari zaman kanak-kanak dan remaja mereka, sebaliknya mahu kekal di 'sana' selama mungkin sambil sekali-sekala mengutuk remaja dan kanak-kanak zaman kini yang menurut mereka tidaklah sehebat dan cool seperti mereka satu masa dulu.

Nostalgia juga boleh dijual kerana mempunyai nilai pasaran yang tinggi jika kena pada kelompok sasarannya. 

Pada zaman ini, zaman sewaktu orang dewasanya berumur - katakanlah dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun - nostalgia yang sering mahu dikenang mereka ialah dari 1970-an hingga 1990-an. 

Mujurlah, pada zaman ini teknologi-teknologi baru tercipta dengan pesat. Rakaman video muzik yang tersimpan dalam VHS, lagu-lagu dalam kaset boleh dipindahkan dengan mudah ke internet melalui laman seperti YouTube atau mana-mana akaun cloud peribadi masing-masing. 

Semua menunggu mati

Maka, peminat kumpulan Feminin atau KRU contohnya masih boleh menonton nyanyian dan persembahan artis-artis kesayangan mereka yang popular pada era 1990-an itu pada zaman ini, sambil menyindir remaja zaman kini yang meminati artis K-pop atau Aiman Tino yang barangkali menurut mereka bukanlah satu pilihan cita rasa seni yang baik.

Malah industri hiburan dan konsumerisme turut menyokong fenomena ini. Kelahiran program televisyen seperti Gegar Vaganza dan Kilauan Emas contohnya, adalah untuk meraikan orang dewasa melayan nostalgia zaman remaja dan kanak-kanak mereka lewat artis-artis (dan lagu-lagu) yang pernah menyinar dulu walaupun pada zaman sekarang mereka sudah pun suam-suam kuku atau seperti kata Aiman, "menunggu mati".

Fenomena begini - walaupun tidaklah salah dan masih boleh diraikan - dari satu segi ia boleh menyekat kreativiti dan kelahiran idea-idea baru oleh generasi masa kini. 

Pada awal tahun 2000-an, sewaktu lagu-lagu pop kebanyakannya masih disimpan dalam kaset, M Nasir pernah menegur kegilaan syarikat-syarikat rakaman tempatan menerbitkan album kompilasi lagu lama dengan label-label  seperti Terbaik 70-an, Hits 80-an dan The Best of 90s dengan alasan di atas.

Curiga pada idea baru

Di Hollywood, kegusaran yang lebih kurang sama wujud dalam industri filem apabila sejak beberapa tahun kebelakangan, kebanyakan filem yang dihasilkan ialah filem-filem lama yang diberi versi baru (remake), filem-filem adaptasi, selain filem yang disambung dengan sekuel atau prekuel. 

Siri filem Star Wars, Star Trek, Alien dan lain-lain adalah antara contohnya. Persoalan yang timbul adalah – tidak adakah lagi idea asli yang tinggal?

Selain dari tiada idea, isu nostalgia barangkali memainkan peranan. Orang dewasa mahu mempakejkan semula zaman kanak-kanak dan remaja mereka dalam bentuk baru, tidak kira sama ada dalam bentuk lagu, filem, atau apa pun. 

Mereka tidak mahu malah pesimis dengan idea-idea baru bawaan orang muda yang belum makan garam sebanyak mereka.

Apabila Jumanji mula-mula dihasilkan sebagai sebuah filem pada 1995, ia juga sebenarnya diadaptasi daripada sebuah buku kanak-kanak dengan tajuk sama yang ditulis pada tahun 1981. 

Filem lakonan Robin Williams itu mengisahkan satu permainan yang menjelma menjadi realiti dan perlu diselesaikan untuk menghentikan kehancuran yang ia bawa.

Apabila disambung dengan Jumanji: Welcome To The Jungle pada 2017, kepada khalayak, ia tidak menawarkan satu idea baru yang asli, sebaliknya menjual nostalgia kepada kanak-kanak dan remaja 1995 yang kini telah pun tumbuh dewasa menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak mereka yang akan turut dibawa ke pawagam untuk menikmati keseronokan yang pernah mereka dirasai dulu. 

Kita lebih mudah

Nostalgia tahun 1990-an dihidangkan dengan cukup mewah seperti paparan konsol permainan video ala Street Fighter, poster dan baju T kumpulan Metallica, malah menggunakan lagu Welcome To The Jungle dari kumpulan Guns N’ Roses dan Baby I Love Your Way daripada Big Mountain sebagai lagu latarnya.

Namun sebagai satu naskhah filem pada tahun 2017, boleh dikatakan Jumanji: Welcome To The Jungle mempunyai ciri-ciri filem zaman ini yang hampir wajib dipenuhi dengan aksi ekstravaganza dan pergerakan plot yang pantas - satu ciri yang tidak semestinya ada dalam filem era 1990-an.

Kecenderungan mengenang nostalgia barangkali akan terus jadi ikutan para karyawan selagi ia boleh dijual. 

Kecenderungan mengitar semula idea lama dan dibungkus kembali dengan pembalut baru juga akan terus dilakukan lantaran inilah cara murah dan cepat memaksimumkan keuntungan. 

Pedulikan kelahiran idea-idea baru untuk menghasilkan filem-filem yang bagus dan segar kerana bagus dan segar itu biasanya mahal harganya dan lambat pula untuk mendapat pulangannya.


HAIZIR OTHMAN anak kelahiran Melaka yang meminati seni, sastera dan falsafah biasan sederhana. Dia juga pemenang Anugerah Sastera Selangorkini 2017 bagi kategori esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen