malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jong-hyun ragut nyawa sendiri dengan menghidu asap
Diterbitkan:  Dec 18, 2017 9:06 PM
Dikemaskini: 1:17 PM
ADS

Bekas vokalis kumpulan boy band Korea Selatan, Shinee, meninggal dunia hari ini dipercayai membunuh diri.

Kim Jong-hyun, 27, ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di kawasan Cheongdam-Dong, Seoul, sebelum dikejarkan ke hospital.

Menurut kenyataan dikeluarkan polis, kakak Jong-hyun membuat panggilan kecemasan kerana mengesyaki ada yang tidak kena selepas penyanyi terbabit mengancam untuk menamatkan riwayat sendiri.

“Pada jam 4.42 petang 18 Disember kakak sulung Jong-hyun menghubungi polis untuk memaklumkan bahawa adiknya ingin membunuh diri.

“Kami bergegas ke kediamannya di Cheongdam dan menemui dia cuba membunuh diri dengan menyalakan arang batu di atas kuali.

“Dia dikejarkan ke Hospital Universiti Konkuk kerana kelihatan seperti mengalami serangan jantung,” menurut kenyataan itu.

Didoakan peminat

Memetik laporan The Mirror, kematian Jong-hyun dikatakan berpunca daripada keracunan karbon monoksida dipercayai kesan menghidu asap arang yang menyala.

Jong-hyun menyertai Shinee pada 2008. Selain dia Shinee dianggotai empat lagi anak muda iaitu Onew, Key, Minho dan Taemin.

Pada 12 Januari 2015, Jong-hyun bergerak secara solo dan mengeluarkan EP berjudul Base. Pada 17 September tahun yang sama dia menerbitkan sebuah album kompilasi Story Op 1.

Pada 24 Mei 2016, Jong-hyun menghasilkan album studia pertama She Is diikuti album kompilasi kedua Story Op 2 pada 24 April tahun ini.

Selain menjadi penyanyi Jong-hyun juga seorang hos radio dan pelakon. Antara filem pernah dilakonkannya ialah I Am dan SM Town: The Stage.

Ucapan dan doa peminat sudah membanjiri media sosial ketika ini.

“Suara merdu Jong-hyun. Dia seorang vokalis yang baik dan pencipta lagu yang hebat,” kata seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi pengguna menulis: "Saya tidak tahu apa ingin difikirkan sekarang tetapi apa yang saya rasakan adalah kecewa. Semoga tenang di sana Kim Jong Hyun,” katanya.

Lihat Komen