malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jibam bukan sempurna tapi terpuji, tak banyak cela
ADS

ULASAN FILEM | Sutradara Che Mie hadir dengan adaptasi menarik memindahkan kisah Jibam dari novel ke layar lebar.

Untuk sesiapa yang kurang mengenali nama Jibam, watak itu suatu ketika dulu pernah melekat di hati ramai orang apabila novelnya terjual ratusan ribu naskhan dan diulang cetak berkali-kali sehinggalah 2007.

Keadaan itu sedikit sebanyak boleh menjadi latar kepada anda untuk memahami bahawa Jibam ialah karya yang bukan sembarangan.

Bagaimanapun persoalan yang hadir di minda saya dan penonton ketika melihat Jibam hadir sebagai manusia sebenar di atas layar ialah, apakah karya Che Mie ini berjaya disetarakan dengan karya asal dalam bentuk buku?

Walaupun masih hijau dalam arena perfileman, bakat besar Mohd Ariff Abdullah adalah faktor utama menjadikan Jibam itu Jibam.

Emosi, memek muka, serta reaksinya sebagai Jibam dimainkan dengan begitu meyakinkan. Kekuatan lakonan Mohd Ariff juga mungkin disebabkan keadaan semula dia yang begitu dekat dengan watak Jibam.

Keserasian terjalin antara pelakon veteran - seperti A Galak, Khir Rahman, Kamarool Yusof, Zaidi Omar dan Kazar Saisi - pula tampak begitu serasi.

Gandingan mereka amat berkesan menghidupkan watak stereotipikal kampung yang mewarnai cerita ini.

Penulis memilih adegan “cakap depan tapi belakang” di kedai kopi sebagai babak kegemaran peribadi kerana ia dilakonkan dengan begitu sempurna, berlatarkan dialog padu dan mesej bawah sedar yang terkandung dalam kata-kata mereka.

Elemen nostalgia terjentik

Pujian seharusnya diberikan kepada jurukamera dan juruvideo filem ini kerana sentuhan mereka menghidupkan Jibam.

Sepanjang perjalanan cerita, penonton terpukau akan keindahan alam sekitar di Sungai Lembing dan kawasan perkampungan yang dipaparkan.

Palet warna cerah yang digunakan dalam filem ini menyerlahkan lagi kualiti dan keindahan Kampung Belulang.

Skor muzik yang dimainkan pula berpadanan dengan situasi dan babak. Alunan muzik ceria dan menenangkan berjaya membawa penonton mengimbau kembali zaman kanak-kanak mereka melalui kehidupan di Kampung Belulang.

Ia lantas menjentik elemen nostalgia yang bersarang pada hati peminat dan penonton.

Aspek syot dan permainan kamera diiringi dengan skor muzik dalam Jibam merupakan suatu nafas baru dalam industri filem tanah air kerana paparan visual dalam filem ini bertindak menceritakan segala-galanya.

Sayang seribu kali sayang, untuk sebuah filem dengan visual dan skor muzik bertaraf antarabangsa, potensi Jibam untuk berkembang sebagai filem yang sempuna sedikit tempang lantaran susunan plot tidak kemas dan transisi babak ke babak yang sedikit bercelaru.

Boleh dikatakan plot penceritaan merupakan kelemahan utama Jibam ini, terutamanya pada akhir penceritaan.

Walaupun penulis tidak pernah membaca novel asal dan hadir sebagai seorang penonton kasual, terasa seperti ada beberapa babak penting gagal dibawa ke layar perak.

Sindiran kepada penguasa

Penulisan skrip dan cerita untuk fasa pengakhiran Jibam nampak seperti dilakukan dengan sambil lewa atau terlalu tergesa-gesa untuk ditamatkan.

Ketiadaan sari kata juga membunuh intipati dan mesej sesetengah babak penting kerana penonton tidak mampu menangkap dialog yang dilontarkan, lantas menimbulkan kekeliruan.

Jalan cerita yang menarik dan berentak kartun ini sememangnya unik namun penonton mungkin kurang memahami beberapa babak membabitkan adegan imbas kembali gagal diterjemah dengan tepat oleh sutradara.

Jibam diangkat sebagai sebuah satira masyarakat setempat dan cerminan terhadap realiti masa kini.

Orang yang kelainan upaya dicemuh, dibuli, dipersendakan serta dipandang enteng, sedangkan mereka tidak punya dosa atau akal yang mencukupi untuk mengawal diri mereka sebaiknya.

Selain itu, latar belakang masyarakat Melayu kampung yang dilihat begitu terasing sekali daripada arus pemodenan mungkin suatu mesej sindiran terhadap parti berkuasa yang tidak mengendahkan kebajikan dan perihal penduduk yang berada di bawah naungan mereka.

Kemudahan dan tempat tinggal yang daif, dengan basikal tua sebagai alat pengangkutan serta ketidakmampuan penduduk mendapatkan rawatan di hospital menjadi cerminan realiti terhadap keadaan rakyat yang semakin tertekan pada zaman sekarang lantaran kos sara hidup yang kian meningkat saban hari.

Kesimpulannya, Jibam bukanlah filem yang sempurna namun ia juga bukanlah sebuah cerita yang penuh dengan cela. Cuma penulis sedikit ralat dengan plot yang sememangnya hebat namun perjalanan cerita ada ketikanya mengelirukan dan terlalu perlahan.

Pihak produksi sewajarnya lebih bijak memikat penonton kasual seperti saya untuk hadir menyaksikan filem yang berkualiti seperti ini kerana adalah satu kerugian besar jika filem dengan potensi besar begini dihasilkan hanya untuk menyasarkan segelintir pihak dan peminat sahaja, bukannya seluruh rakyat Malaysia.

Saya percaya akan kebolehan dan potensi karya ini untuk berjaya pada masa akan datang kerana "kalau kau menjadi aku, aku yakin kau mengerti."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen