malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Salma Hayek: Weinstein 'raksasa', pernah ugut bunuh saya
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 3:01 PM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Salma Hayek menyertai senarai aktres Hollywood yang mendakwa diganggu tokoh industri perfileman Harvey Weinstein.

Dalam pengakuannya yang disiarkan New York Times (NYT) dua hari lalu, Salma yang menyifatkan Weinstein sebagai 'raksasa' berkata peristiwa itu berlaku ketika proses pembikinan biopik pelukis Frida Kahlo, Frida, pada 2002.

Pelakon kelahiran Mexico itu mendakwa selain melakukan perkara berkaitan seks, Weisntein pernah mengheretanya keluar dari majlis, sentiasa memarahinya dan malah mengancam nyawanya.

"Dalam satu insiden dia berkata, 'saya akan bunuh kamu, jangan fikir saya tak mampu melakukannya'," kata Salma dalam artikel yang disiarkan NYT.

Walaupun pengalaman hitam itu menjejaskan hidupnya, Salma merahsiakannya bertahun lamanya.

Walaupun selepas sejumlah dakwaan salah laku seks dibuat terhadap Weinstein. Bagi Salma, tiada siapa yang akan tertarik dengan kisahnya.

"Tiada siapa yang peduli tentang kesakitan yang dirasai, mungkin ini adalah kesan selepas diberitahu banyak kali terutama oleh Harvey, bahawa saya bukannya sesiapa," katanya.

Salma mendakwa, antara beberapa permintaan seksual daripada Weinstein adalah membenarkan lelaki itu melihatnya mandi, mandi bersama-samanya, membenarkan dia memberikan seks oral kepadanya dan berbogel dengan wanita lain.

"Tidak, tidak, tidak," dan setiap penolakan pastinya mengundang kemarahan Weinstein.

Cabaran Frida

Menurut Salma, Weinstein pernah mengheretnya keluar daripada malam gala perasmian Festival Filem Venice sebagai penghormatan kepada Frida, hanya untuk menemaninya ke acara persendirian.

Ketika berjuang untuk memulakan projek biopik itu pula, Weinstein terus-menerus menyusahkannya semata-mata untuk 'merampas' filem itu daripadanya.

"Di matanya, saya bukan seorang artis. Saya bukan manusia, tetapi objek, tubuh."

Dalam usaha Weinstein merampas filem itu, Salma mendakwa dia dihadapkan beberapa tuntutan melampau - menulis semula skrip tanpa bayaran tambahan, meraih dana sebanyak AS$10 juta, mendapatkan pengarah dan pelakon ternama untuk empat watak kecil.

Dia akhirnya berjaya memenuhi semua tuntutan itu, tetapi tidak bermakna tiada lagi tuntutan lain daripada Harvey.

Antaranya, dakwa Salma, agar dia membawa watak Frida dengan lebih seksi termasuk melakukan adegan bogel dengan pelakon wanita lain.

"Selepas penggambaran selesai, emosi saya cukup terganggu dan saya perlu menjarakkan diri ketika proses pascaproduksi," katanya lagi.

Filem tersebut akhirnya ditayangkan pada 2002 dan mendapat enam pencalonan anugerah Oscar setahun kemudian, termasuk bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk Salma sendiri.

"Saya harap dengan mendedahkan perkara ini dapat membuatkan orang lain faham mengapa begitu sukar dan begitu ramai di kalangan kami yang mengambil masa terlalu lama (untuk mendedahkannya).

"Lelaki menyerang secara seksual kerana mereka mampu. Wanita bersuara hari ini kerana di era baru ini, kami akhirnya boleh (bersuara).

Selain Salma, antara bintang berprofil tinggi yang telah membuat dakwaan sama terhadap Weinstein adalah Ashley Judd, Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie dan Lupita Nyong'o.

Weinstein nafi

Jurucakap Weinstein dalam kenyataan berkata, Weinstein tidak dapat mengingat pernah memaksa Salma agar melakukan adegan seks bagi filem Frida, kerana "tiada ketika penggambaran".

"Namun kerana Frida Kahlo adalah biseksial dan adegan seks yagn lebih signifikan dalam filem itu dirangka oleh Hayek dan (pelakon) Geoffrey Rush.

"Semua dakwaan seksual yang dinyatakan Salma adalah tidak tepat dan mereka yang menjadi saksi terhadap apa yang berlaku mempunyai cerita yang berbeza," katanya dalam kenyataan yang disiarkan laman Deadline.com.

Lihat Komen