malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada apa Farid mengomel pasal rasuah, kleptokrasi?
Diterbitkan:  Dec 13, 2017 1:06 PM
Dikemaskini: 5:17 AM
ADS

Siapa tidak kenal Farid Kamil?

Ketika filem lakonannya, Tombiruo, masih diperkatakan satu klip video ringkas yang dikongsi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Facebook malam tadi memang mencuri perhatian.

Kedua-dua individu itu memang dikenali di dua dunia yang berbeza. Farid dalam dunia lakonan dan Dr Mahathir - kini berusia 92 tahun - masih lincah dalam gelanggang politik.

Namun klip video itu nampak menyatukan mereka.

Farid, 36, kelihatan berkain pelikat dan berbajut T serta bertopi kelihatan berdiri dalam sebuah sampan yang beroleng-oleh dalam tali air.

Dia kemudian kedengaran bercakap mengenai rasuah.

"Banyak sangat rasuah, banyak sangat - apa nama.... kleptomaniac, banyak sangat samseng-samseng, banyak sangat KL gangster yang pegang industri," katanya bersahaja.

Dialog itu berlangsung antara Farid dengan seseorang yang lain.

Tidak cukup dengan itu, pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah berkenaan menyambung: "Depa makan rasuah. Bila makan rasuah, bahaya, hang tak boleh jadi pelakon kalau makan rasuah."

Lebih daripada itu ada satu lagi yang menarik terpampang dalam klip video berkenaan.

Cantik baju Farid

Ia adalah baju T yang dipakai Farid. Pada baju itu terpapar wajah Dr Mahathir dengan latar belakang bendera Malaysia.

Tidak dapat dipastikan setakat ini sama ada rakaman itu adalah sebahagian daripada projek terbaru pelakon terbabit, dimuat naik sekadar mengusik atau tujuan lain.

Dr Mahathir adalah bekas perdana menteri selama 22 tahun yang kini menjadi seorang daripada watak utama mengkritik kerajaan.

Selain menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) beliau turut dipilih mengetuai gabungan empat parti pembangkang di negara ini yang bergabung dalam Pakatan Harapan.

Mempunyai pelbagai warna sepanjang penglibatannya dalam politik, Dr Mahathir pada 7 Dis lalu mengembalikan pingat kebesaran yang diterimanya daripada sultan Selangor kepada pihak istana terbabit.

Turut melakukan langkah itu isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah.

Mengiringi klip video Farid itu ialah penghargaan daripada Dr Mahathir.

"‪Terima kasih Farid Kamil. Cantik baju," katanya.

Sebelum ini sejumlah artis tampil secara bersahaja memperkatakan isu semasa, seperti Datuk Sheila Majid, Fathia Latiff, Adibah Noor, Yasin Sulaiman dan Azwan Ali.

Kenyataan mereka kemudian mendapat pelbagai reaksi termasuk di kalangan tokoh politik serta pegawai kanan kerajaan.

Selain Tombiruo, Farid turut menjayakan banyak filem lain, termasuk Kala Malam Bulan Mengambang, Lagenda Budak Setan, Anak Jantan dan Hantu Bungkus Ikat Tepi.

Lihat Komen