Tarikh lahir yang terpapar pada kad pengenalan boleh menentukan permulaan fasa usia emas - atau 50 tahun - bagi sesetengah orang namun untuk Faizal Hussein ia lebih daripada sekadar angka.
Menjadi pelakon dengan usia sebegitu baginya bukan penghalang untuk pengarah terus memberikan kepercayaan menjayakan watak utama sesebuah filem aksi.
Pada masa sama Faizal juga tidak menafikan faktor wajah yang tidak banyak berbeza ditelan zaman menjadi bonus.
Digabungkan dengan amalan harian yang menitikberatkan penjagaan kesihatan menyebabkan namanya kekal menjadi pilihan.
Dan terkini aktor itu tampil dalam filem terbarunya KL Wangan.
“Dari segi pemakanan, saya memang amalkan makan nasi tak pernah tambah, atau lebih sepinggan seumur hidup.
"Macam mana sedap sekali pun lauk tu, saya tahan supaya tidak tambah nasi," katanya yang ditemui pada sidang pratonton filem KL Wangan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tetapi Faizal bukanlah kaki bersenam. Sebaliknya dia lebih gemar menghadapi cabaran dan menyertai aktiviti lasak. Semua itu, katanya, dilakukan untuk menjaga penampilan.
"Saya dahagakan aksi lasak. Dalam KL Wangan memang kebanyakan adegan aksi - misalnya babak melarikan diri daripada polis - semuanya saya lakukan sendiri, bukan pelagak ngeri.
"Untuk kekal bertenaga macam ini saya selalu bermain paintball dan naik motosikal, itu hobi ketika waktu lapang," katanya.
Kesan daripada sikap begitu Faizal masih mampu melakukan gerakan yang pernah dibuatnya ketika dia berusia 18 tahun.
Keluarga, peminat bimbang
Filem kedua arahan Pekin Ibrahim (selepas Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit) itu bakal menjengah pawagam mulai 21 Dis ini.
Ia adalah kolaborasi di antara syarikat produksi milik Pekin, Centro Pictures, bersama Volkswagen Malaysia.
KL Wangan yang menelan kos lebih RM5 juta itu diilhamkan daripada siri manga karya Michiharu Kusunoki, Wangan Midnight, dan filem Hong Kong yang ditayangkan pada 1966, Young and Dangerous.
Selain Faizal, KL Wangan turut diterajui oleh Pekin, Emily Lim, Kazuto Soon dan Jasmine Suraya, selain pelakon Indonesia Donny Alamsyah.

Ia mengisahkan dua pelumba iaitu Hong lakonan Kazuto dan Yudi (Faizal) mempunyai sejarah silam di arena perlumbaan kereta berkuasa besar.
Dalam pada itu, walaupun Faizal - yang menyerlah dalam filem Gila Gila Remaja dan Bunohan - mengaku berjiwa lasak, dia masih perlu sentiasa beringat sebelum menerima sesuatu tawaran membawa karakter yang boleh membahayakan keselamatannya.
Ini kerana, katanya, dia tidak mahu anggota keluarga - seperti kakaknya Dilla Hussein - dihantui kebimbangan akan keselamatannya ketika berada di lokasi penggambaran.
“Isteri saya sudah biasa, cuma kakak dan abang yang risau.
“Malah ada juga peminat yang turut menyatakan kebimbangan mereka apabila melihat saya memuat naik gambar aksi di Instagram kerana usia sudah mencecah 50-an,” katanya.

