malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri undang Sheila ke taklimat ekonomi di EPU
Diterbitkan:  Dec 10, 2017 5:39 PM
Dikemaskini: 9:59 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengundang Datuk Sheila Majid dan selebriti lain untuk menghadiri taklimat Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkenaan keadaan ekonomi negara.

Ia susulan keluhan penyanyi terkenal itu 5 Disember lalu, tentang keadaan ekonomi negara yang menurutnya dalam keadaan buruk sehingga menekan rakyat Malaysia.

Keluhan ringkas di Twitter itu mengundang pelbagai reaksi - daripada sokongan di kalangan selebriti sehinggalah kecaman beberapa pihak dalam kerajaan dan parti pemerintah.

Abdul Rahman mempertahankan hak Sheila dan selebriti lain untuk bersuara, namun berkata mereka juga perlu bersedia untuk menerima kritikan.

"Politik bukan jalan sehala. Saya peminatnya...Tetapi saya berharap beliau dapat menjelaskan lebih lanjut sebab mengapa beliau berpandangan sedemikian.

"Saya ingin mengundang Sheila Majid dan selebriti yang lain untuk datang ke EPU bagi taklimat berkenaan keadaan semasa ekonomi.

"Mungkin SENIMAN (Persatuan Seniman Malaysia) boleh menganjurkan lawatan dan saya berbesar hati untuk menjadi hos," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Membandingkan dunia selebriti di Malaysia dengan luar negara, Abdul Rahman berkata selebriti di negara lain memang sentiasa bersuara dalam isu semasa yang melibatkan kepentingan negara.

"Di negara luar, selebriti, pelawak dan malah pelakon lucah mempunyai pandangan tentang isu yang memberi kesan kepada negara. Malah ada sesetengahnya yang memutuskan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

"Namun selebriti ini ada rekod terlibat bertahun lamanya dalam isu yang mereka prihatin. Mereka hadir dan menganjurkan acara syarahan, terlibat dalam perbincangan.

"Jarang sekali mereka menulis sekali dua di Twitter dan berharap orang ramai memahami motif mereka," katanya.

Lihat Komen