malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Terima kasih, anda YB di luar parlimen'
Diterbitkan:  Dec 8, 2017 7:47 PM
Dikemaskini: 3:46 PM
ADS

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata beliau teruja dengan kenyataan dibuat beberapa artis dan personaliti tanah air mengenai kesempitan hidup rakyat akibat kos sara hidup yang tinggi.

Mahfuz menyifatkan artis-artis berkenaan seperti Datuk Aznil Haji Nawawi, Datuk Sheila Majid, Fathia Latiff, Adibah Noor dan Yasin Sulaiman "berani mengangkat suara dan keluh resah rakyat".

"Lebih membanggakan saya apabila mereka berani keluar dari status sosial mereka untuk berada di tengah realiti kehidupan rakyat marhaen.

"Komen serta luahan isi hati mereka bukan pada sebarangan orang tetapi ditujukan kepada MO1 yang sedang berkuasa," kata Mahfuz dalam kenyataan medianya.

MOI merujuk kepada individu yang dinamakan dalam saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bagi merampas aset yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB .

Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, Najib berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Baru-baru ini beberapa artis tempatan menyatakan keprihatinan mereka terhadap keadaan ekonomi dan isu politik di negara ini.

Antaranya Sheila Majid yang mengatakan rakyat kini semakin marah dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan hutang yang membebankan mereka.

Selepas Sheila dikritik hebat terutama daripada pimpinan Umno, pelakon Adibah Noor pula muncul mempertahankannya melalui akaun Twitter menyindir pihak yang tidak senang terhadap artis yang berkongsi keluhan berkenaan kos sara hidup.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu turut mempersoal persepsi pihak tertentu yang menganggap artis hidup mewah dan tidak beri sumbangan apa-apa kepada negara.

Pada masa sama, penyanyi Yasin pula berkata apa yang diluahkan Sheila menggambarkan realiti kehidupan rakyat terbanyak.

Sementara pengacara terkenal, Aznil pula mendedahkan beliau meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam sebuah pertemuan empat mata.

Terdahulu sebelum itu, pelakon sensasi Fathia Latiff mempersoalkan laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung kerugian urusniaga tukaran wang asing forex pada 1990an.

Fathia mempersoalkan mengapa RCI berkenaan mencadangkan agar Mahathir disiasat selepas berpuluh tahun.

Dicemuh spesis 3P

Menurut Mahfuz, golongan artis berkenaan sanggup keluar dari alam "kehidupan membodek" untuk kepentingan diri kepada keberanian memperjuangkan kepentingan negara dan kehidupan rakyat.

"Malangnya mereka dicemuh oleh spesis 3P (penjilat, pembodek dan pengampu) tegar PM Najib Razak dengan berbagai tuduhan untuk menutup kelemahan pentadbiran MO1 Najib Razak mengurus tadbir kerajaan," kata Mahfuz.

"Pak Nil, Sheila Majid, saudari Fathiah Latiff, saudari Adibah Nor dan saudara Yasin serta personaliti yang lain, bagi saya anda selayaknya adalah 'YB' di luar parlimen yang tidak mengambil sikap berkecuali dalam masalah keperitan hidup rakyat.

"Anda berani kerana benar. Anda berani untuk menjadi berani demi negara dan rakyat. Terima kasih 'YB'!"kata Mahfuz.

 

Lihat Komen