Umno: Ini bukan bidang Sheila


(Dikemaskini )

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menzahirkan rasa kesian kepada artis terkemuka negara Datuk Sheila Majid yang menurutnya mendapat maklumat salah mengenai kerajaan.

Menurutnya, kenyataan Sheila mengenai situasi Malaysia kebanyakan tidak benar memandangkan penyanyi itu bukanlah pakar dalam bidang ekonomi.

“Banyak yang salah, maknanya dia banyak salah. Sebab itu bukan bukan bidang dia.

“Tetapi kalau dia hendak cakap barang mahal, orang menoreh getah pun boleh cakap barang mahal.

“Tapi kalau dia kata ekonomi Malaysia begini, begini, begini, nak kena kaji, jadi elok saya tak komen,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2017, hari ini.



Sheila, ratu Jazz negara, menarik perhatian warga Internet apabila beliau mengeluh kos hidup yang tinggi dan nilai ringgit yang lemah di Twitter.

Pendirian tegas penyanyi Sinaran itu kini menjadi tular di Internet.

Ia dilihat sebagai tamparan hebat kepada Umno kerana dibuat menjelang perhimpunan agung Umno di ibu negara yang bermula hari ini.

Kenyataan itu muncul selepas rakan artis Fathia Latiff membela bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berdepan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan kerugian Bank Negara pada 90-an yang tidak memihaknya.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau bagaimanapun menghormati suara rakyat yang pelbagai dan pihak kerajaan akan terus positif dengan respon-respon dari setiap rakyat.

“Kita kena hormat suara di luar sana, kita anggap suara rakyat yang pelbagai. Kita kena beri perhatian. Kita kerajaan kena positif,” katanya.




Pengiklanan