malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas Fathia bela Dr M, pegawai Rosmah nasihatkan artis
Diterbitkan:  Dec 4, 2017 5:30 PM
Dikemaskini: 9:38 AM
ADS

Selepas kenyataan berani artis wanita jelita Fathia Latiff yang menempelak tindakan pada Tun Dr Mahathir, pegawai Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor, hari ini menasihatkan golongan seni tidak menjadi alat pembangkang.

Rizal mendakwa, berdasarkan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum 2013, golongan artis hanya digunakan untuk berceramah tetapi kemudiannya nasib mereka langsung tidak dipedulikan.

“Saya juga buat teguran terbuka kepada seorang artis yang telah merudum popularitinya dek kerana perangai sendiri yang tidak berdisiplin dan terlibat dengan gejala-gejala negatif.

“Kini, terdesak untuk meraih semula populariti, beliau cuba membuat posting politik yang beliau sendiri tidak tahu apa yang ditulis.

“Dapatkan fakta yang betul sebelum menulis dan tulislah dalam keadaan waras!” kata Rizal.

Fathia pada 1 Disember lalu mempertikaikan siasatan pada Mahathir dalam isu kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (forex) sekitar tahun 90-an, kerana baru dibuat selepas berpuluh tahun skandal itu berlaku.

Dalam tweet berbeza, beliau juga menuntut siasatan terhadap kemasukan wang ke “akaun peribadi individu tertentu", dipercayai kepada isu 'derma' RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai balasan, Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Fathia dan mengajaknya “bangkit bersama untuk mengembalikan maruah negara”.

'Henti guna pengaruh'

Menulis di Facebook petang ini, Rizal juga berkata beliau telah menyatakan pesanan sama ketika melancarkan Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia di Petaling Jaya.

Beliau juga menggesa artis yang tidak dinamakannya itu supaya berhenti menggunakan pengaruh untuk “memesongkan pemikiran rakyat”.

“Jangan menjadi perkakasan parti pembangkang yang kini terdesak untuk meraih populariti menjelang PRU14 (pilihan raya umum ke-14).

“Malah parti itu nak buat mesyuarat agung pun tak mampu bagaimana nak diharapkan untuk mentadbir negara?” katanya merujuk kepada kemelut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang sedang berdepan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Jika tak laku lagi...

Rizal juga berkata, artis itu jika tidak lagi laku, boleh menceburi bidang lain seperti bidang perniagaan.

“Daripada menghabiskan masa membaca portal berita atau blog pembangkang, lebih baik mencari maklumat untuk mendapatkan pelbagai bantuan khususnya untuk orang bangsa sendiri dan masyarakat seni.

“Sejarah menunjukkan nasib yang menimpa beberapa artis yang dipergunakan pembangkang yang akhirnya terpaksa kembali kepada dunia seni apabila dipinggir setelah pembangkang mencapai matlamat mereka,” katanya.

Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat isu forex antaranya mengesyorkan siasatan terhadap Mahahir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Lihat Komen