malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Anggota Backstreet Boys dituduh merogol
Diterbitkan:  Nov 24, 2017 4:30 PM
Dikemaskini: 8:45 AM
ADS

Bekas penyanyi pop yang juga anggota kumpulan Dream mendakwa menjadi mangsa rogol oleh salah seorang anggota band Backstreet Boys, Nick Carter kira-kira 15 tahun lalu.

Melissa Schuman, mendedahkan insiden hitam itu melalui tulisan dalam blog yang disiarkan awal bulan ini selain berkongsikan pautan mengenainya kepada umum.

Wanita itu mendakwa peristiwa itu berlaku sewaktu dia baru berusia 18 tahun dan masih sebahagian anggota kumpulan Dream manakala Carter pula berumur 22 tahun.

Menurut Melissa, dia yang ketika itu bekerjasama dengan Carter untuk sebuah rancangan televisyen dijemput bersama seorang lagi rakan untuk datang ke apartmen artis lelaki itu di Santa Monica.

Dakwa Melissa, Carter membawanya untuk mendengar beberapa lagu yang dihasilkannya dan ketika itulah mereka mula berciuman sebelum aksi itu berterusan hingga ke bilik mandi.

Seks oral dalam bilik mandi

Carter kemudian melakukan seks oral walaupun tanpa kebenaran Melissa dan turut memaksa wanita itu melakukan perkara sama.

“Saya takut dan terperangkap. Dia lebih kuat dan besar dari saya dan tiada cara untuk membuka pintu atas bagi sesiapa boleh menyelamatkan saya.

“Kawan saya juga entah di mana pada ketika itu,” kata Melissa.

Selepas insiden di bilik mandi, Carter membawa Melissa masuk ke dalam bilik tidur sebelum memperkosanya.

Masih dara

Melissa merayu untuk dilepaskan malah mengaku masih dara dan mahu melakukan hubungan intim hanya selepas berkahwin, namun tidak diendahkan Carter.

Melissa berkata Carter sempat ‘memujuk’ dengan mengatakan “Aku boleh menjadi suamimu.”

Menurut Melissa, peristiwa hitam bersama Carter menyebabkan dia hidup dalam trauma selain hilang minat untuk meneruskan karier sebagai seorang artis rakaman.

Sementara itu, Carter menafikan tuduhan rogol berkenaan dan menjelaskan bahawa dia terkejut serta sedih apabila dituduh bukan-bukan oleh Melissa.

“Melissa tidak pernah menunjukkan kepada saya bahawa apa yang kami lakukan pada bila-bila masa berlaku tanpa kerelannya.

“Saya sentiasa menghormati dan menyokong Melissa secara personal dan profesional. Ini adalah kali pertama saya mendengar tuduhan sebegini, selepas hampir dua dekad,” katanya.

Selain Carter, Backstreet Boys yang ditubuhkan pada 1993 turut dianggotai AJ Mclean, Howie D, Kevin Richardson dan Brian Littrell.

Antara lagu pernah dipopularkan kumpulan berasal dari AS itu adalah I Want it That Way, Quit Playing Games, Bye Bye Bye dan Shape of My Heart.

Lihat Komen