malaysiakini logo
story-image
ADS

Akhirnya spekulasi yang bertebaran mengenai pasangan pelakon Fattah Amin dan Fazura yang bernikah secara rahsia terjawab.

Fattah mengesahkan bahawa sebenarnya mereka masih belum bernikah sebaliknya hanya mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu.

"Pada 13 November saya telah menghantar rombongan merisik dan bertunang ke rumah Fazura. Majlis pertunangan itu selamat diadakan sebelum kami pergi umrah.

"Kami sepakat tidak mahu berkongsi mengenai pertunangan ini kerana ingin mengumumkan perkara berkenaan selepas menunaikan ibadah umrah malah ia juga dibuat atas permintaan keluarga," katanya.

Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 27, ditemui pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media berkenaan dilakukan sebaik kedua-dua pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari menunaikan umrah bersama keluarga masing-masing.

Mereka juga sebelum ini ditelah bakal bertunang pada13 November lalu namun masing-masing masih mengunci mulut sebaik tarikh berkenaan tiba.

Pada 14 November lalu sebuah majlis yang tiba-tiba diadakan di kediaman rumah nenek Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 34, di Petaling Jaya pula menimbulkan tanda tanya umum.

Majlis berkenaan diadakan sehari sebelum Fattah dan Fazura berangkat ke Tanah Suci, Mekah.

Menurut pelakon yang popular menerusi drama bersiri Playboy itu Suami Aku dia teringin untuk menjalani proses perkahwinan seperti orang lain walaupun dirinya bergelar sebagai pelakon.

"Tarikh 14 November itu adalah tarikh kami mengadakan kenduri doa selamat dan kini kami sedang merancang untuk menghadiri kursus perkahwinan. Doakan yang baik-baik untuk kami," katanya.

Jika tiada aral melintang dan segala urusan dipermudahkan Fattah dan Fazura berniat untuk melangsungkan majlis pernikahan tahun ini manakala sebanyak dua majlis resepsi akan diadakan tahun depan.

 

Lihat Komen