malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Saya sendiri kritik Shaheizy Sam'
ADS

Untuk menampilkan kualiti lakonan terbaik, Shaheizy Sam mendedahkan amalan biasanya dengan menjadi pengkritik diri sendiri.

Bukan saja cerewet, beliau juga sering mengingatkan dirinya untuk tidak cepat berpuas hati.

“Jika ada sesuatu perkara yang saya tengok dalam lakonan tapi tak puas hati, mulalah nak mengkritik.

"Saya tak suka salahkan orang lain. Boleh dikatakan dalam hal ini, saya adalah pengkritik terbesar diri sendiri.

“Dengan berbuat demikian saya harap dapatlah memperbaiki diri sendiri untuk masa akan datang,” katanya.

Sam atau nama penuhnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 35, antara pelakon yang membarisi filem Pinjamkan Hatiku, ditemui pada tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur kelmarin.

Ketika ditanya sama ada berpuas hati atau tidak dengan hasil lakonannya kali ini, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu dengan pantas menjawab:

“Tidak.”

Kata Sam, dia tidak berpuas hati dengan potongan badan yang dipamerkan walaupun telah melakukan kaedah menurunkan berat badan paling ekstrim.

“Bentuk badan sebab tak cukup kurus sampai nampak sedikit tulang rangka. Sepatutnya saya mahu berat turun hingga 50 kilogram untuk watak itu. Tetapi masa tidak mencukupi kerana saya hanya mempunyai tempoh dua bulan untuk berbuat demikian,” katanya.

Selain Sam, buah tangan terbaru arahan Osman Ali yang akan menemui peminat pada 30 November ini turut dijayakan dengan lakonan hebat Ayda Jebat dan Farid Kamil.

Drama romantik

Pinjamkan Hatiku mengisahkan drama romantik antara Naufal (lakonan Sam) dengan Laila Safitri (Ayda).

Selepas lama tidak bersua, Laila pulang ke kampung dan hati penulis novel itu mula terpaut dengan sikap Naufal yang sejak kecil gemar menyakat.

Namun, dalam pada menikmati percintaan romantis, pasangan ini juga perlu berdepan sehebat-hebat ujian dan takdir.

Sejak menempa nama sebagai pelakon remaja pada era 1990-an, Sam menjadi antara wajah yang sering diburu kerana bakatnya oleh penerbit dan pengarah industri tempatan.

Meskipun suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu pernah beberapa kali dicalonkan atau memenangi kategori dalam satu-satu acara dipertandingkan, dia tidak pernah riak dengan setiap pencapaiannya.

Mengulas sama ada Pinjamkan Hatiku boleh mengulangi kejayaan sama, Sam berkata semuanya terletak pada penilaian juri profesional, bukannya kerana dia yang beranggapan lakonan diberikan sudah cukup memuaskan.

“Tidak semestinya apabila ada penonton menganggap sesuatu lakonan itu bagus, juri juga akan berpendapat yang sama.

“Bagi anugerah yang pernah diterima sebelum ini ia dimenangi bukan disebabkan saya rasa bagus tetapi kerana juri anggap saya layak menerimanya,” katanya.

Lihat Komen